Kerajaan akan bentang RUU dana politik asing

Saifuddin Abdullah (tengah) ketika melancarkan buku ‘Bantuan Demokrasi Pendanaan Asing Di Malaysia’ tulisan Takiyuddin Ismail di Universiti Malaya.

KUALA LUMPUR: Kerajaan menerusi Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) dalam peringkat akhir merangka Rang Undang-Undang (RUU) berhubung pendanaan politik sebelum dibentang di Parlimen.

Menteri Luar Saifuddin Abdullah berkata ia termasuk penerimaan dana asing dari luar negara kepada badan-badan politik.

“Kerajaan sedang menggubal sebuah undang-undang tentang pendanaan politik ini termasuk bagaimana dana politik itu dikumpul, daripada mana sumbernya dalam atau luar negara dan siapa yang boleh kutip dana.

“RUU ini sedang digerakkan oleh Abu Kassim di bawah GIACC, saya difahamkan ia sudah sampai di peringkat akhir dan beberapa siri perbincangan telah diadakan termasuk dengan Majlis Presiden Pakatan Harapan dan parti politik lain.

“Jadi bila (akan dibentang di Parlimen) saya tidak tahu, tentunya akan siap sebelum PRU15,” katanya merujuk pilihan raya umum ke-15.

Saifuddin berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan buku “Bantuan Demokrasi Pendanaan Asing Di Malaysia” tulisan Takiyuddin Ismail di Universiti Malaya, hari ini.

Saifuddin berkata buku tersebut juga boleh dijadikan rujukan dalam usaha kerajaan melaksanakan RUU pendanaan politik.

Rangka pelan hala tuju pelarian Rohingya

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata pihak Wisma Putra sedang menyiapkan kertas kerja untuk melihat sejauh mana peranan Malaysia dalam membantu pelarian Rohingya dan apa penambahbaikan perlu dibuat, termasuk usaha menghantar pulang ke negara asal dengan jaminan yang selamat.

“Kita kena nilai apa yang kita buat dari segi bantuan kepada Rohingya, banyak kita lakukan tetapi masih ada beberapa persoalan yang timbul termasuk di mana anak-anak Rohingya akan sambung belajar.

“Pendidikan tidak memadai sekadar kita adakan sekolah kepada mereka, tapi pelajar ini kena ada masa depan, jadi pendidikan itu bawa mereka ke mana? Bukan hanya dia boleh mengaji Al-Quran, boleh beribadat, ada kefahaman Islam, boleh membaca, menulis dan mengira.

“Tapi bagaimana dia mahu lanjutkan pelajaran ke universiti, bagaimana nak bekerja, apa kemahiran dia,” katanya sambil memaklumkan, jaminan kewarganegaraan juga penting bagi memastikan masa depan entik itu di negara asal terjamin setelah dihantar pulang.

Saifuddin juga berkata Malaysia tidak mempunyai dana besar untuk menyelesaikan isu tersebut.

“Kalau kita ada pelan yang lebih sistemetik, mungkin kita juga boleh mendapatkan dana dari luar negara, pendanaan asing yang baik. Kalau nak bantu mereka, bantu betul-batul,” katanya.

Pertahan pendirian Dr M berhubung MH17

Mengulas mengenai kritikan Australia dan Belanda susulan kenyataan Dr Mahathir Mohamad mempertikaikan penemuan siasatan ke atas insiden pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 yang ditembak jatuh hampir 5 tahun lalu dan menegaskan Rusia “terbabit secara langsung” dalam kejadian itu, Saifuddin berkata pendirian perdana menteri itu disebabkan terdapatnya keraguan dalam siasatan tersebut.

“Perbicaraan pada Mac tahun depan, dalam tempoh itu masih ada peluang untuk bukti-bukti baru ditampilkan.

“Pada kita selagi kita tidak lihat dengan jelas tentang bukti mengaitkan 4 nama itu (pihak Rusia), mungkin 4 nama dan mungkin 5 atau lebih kita tidak tahu.

“Selagi kita tidak lihat bukti yang jelas, kita anggap orang itu belum konklusif,” katanya.

Mahathir dilapor menyifatkan tindakan mendakwa 3 warga Rusia dan seorang warga Ukraine atas pertuduhan membunuh kerana menembak jatuh MH17 pada Julai 2014 sebagai “tidak masuk akal” dan “bermotifkan politik” terhadap Rusia.

Katanya, Malaysia tidak gembira sejak mula lagi kerana ia menjadi isu politik untuk mencari jalan mendakwa Rusia membuat kesalahan.

Beliau berkata, Malaysia tetap mahu bukti kukuh sebelum sebarang pendakwaan dibuat terhadap mana-mana pihak.

Menteri Luar Australia, Marise Payne sebelum ini mempertahankan penyiasatannya dan berkata kerajaannya mempunyai keyakinan penuh terhadap “pasukan siasatan bersama (JIT) yang bebas, adil dan profesional” yang turut dianggotai wakil Malaysia.

Enggan ulas kritikan terhadap Mujahid

Diminta mengulas kritikan terhadap Mujahid Yusof Rawa berikutan langkah menteri itu seolah-olah menerima istilah yang digunakan Beijing bagi menyifatkan 1 kem tahanan yang menempatkan ribuan orang Islam Uighur, Saifuddin enggan mengulas isu tersebut.

“Kena tanya Mujahid,” katanya.

Mujahid sebelum ini berkongsi di Facebook tentang lawatannya ke “pusat latihan dan vokasional bagi masyarakat Uighur”, istilah yang digunakan Beijing bagi menempatkan ribuan orang Islam yang mengkritik dasar China di Xinjiang.

Menurut Mujahid, pusat itu menjalankan aktiviti “latihan perindustrian” seperti menjahit dan mengakhiri kenyataannya dengan #RahmatanLilAlamin.

Kenyataan Mujahid itu mendapat kritikan banyak pihak termasuk Amnesty International Malaysia dan Farouk Musa dari Islamic Renaissance Front (IRF).

Farouk berkata Mujahid perlu sedar apa-apa yang dinamakan “kem pendidikan semula” itu sebenarnya adalah kem tahanan dan ia bukanlah rekaan pengintipan Barat semata-mata.

Farouk berkata, Mujahid tampak jahil mengenai taktik yang digunakan oleh Beijing bagi menghapuskan semua bentuk bantahan politik.