Pihak berkuasa masih tak tahu punca pencemaran di Pasir Gudang, kata menteri

Yeo Bee Yin bersama Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad mengadakan sidang media di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA: Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, pihak berkuasa masih cuba menentukan punca sebenar pencemaran di Pasir Gudang yang menyebabkan penduduk dan pelajar mengalami gejala sesak nafas serta muntah.

Bagaimanapun, katanya, bacaan kualiti udara menemui gas methyl mercaptan di kawasan terbabit, selain 2 gas lain, iaitu akrilonitril dan akrolein.

“Kami lihat ini sebagai satu keganjilan dan cuba menanganinya,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, disebabkan persekitaran udara yang tepu di Pasir Gudang, sebarang keganjilan sedemikian akan memberi kesan kepada kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak dan penghidap asma.

Beliau bagaimanapun tidak dapat mengesahkan gas itu sebagai punca sebenar penduduk di Pasir Gudang mengalami simptom sesak nafas dan muntah.

Ini kerana, katanya, 10 pelajar yang masih dirawat di hospital datang daripada sekolah berlainan.

Yeo berkata, pencemaran kali ini tidak sama dengan insiden di Sungai Kim Kim, di mana pihak berkuasa dapat mencari punca sebenar pencemaran dengan mudah.

Katanya, pembangunan tidak lestari di Pasir Gudang mungkin turut menjejaskan kualiti udara, tanah dan sungai.

Beliau berkata, Pasir Gudang mempunyai 2,005 kilang berlesen dengan 250 daripadanya ialah kilang berasaskan bahan kimia.

Katanya, sesetengah kilang berisiko tinggi tidak mempunyai zon penampan fizikal daripada kawasan perumahan dan sekolah.

“Zon penampan tidak diambil kira. Ada sekolah yang jauhnya hanya 300m dari indusrti berisiko tinggi.”

Yeo berkata, perancangan untuk zon penampan memerlukan analisis lanjut, tetapi kerajaan Johor sudah mempunyai rancangan tersendiri.

Katanya, kementeriannya akan membina stesen pencerapan gas automatik untuk memberi amaran bencana kimia secara pantas sebelum akhir tahun ini.

Beliau berkata, Pasir Gudang akan menjadi kawasan industri berat pertama di negara ini yang mempunyai sistem pemantauan kualiti persekitaran automatik untuk membantu pihak berkuasa bertindak lebih proaktif.

Katanya, kementeriannya juga akan mewujudkan sistem menentukan kadar muatan ketepuan udara di Pasir Gudang menggunakan kaedah penyebaran udara yang diamalkan negara maju.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad bersetuju tiada diagnosis kukuh mengenai punca pencemaran terbaru ini.

“Kami jejak kepada sejenis gas tertentu, methyl mercaptan,” katanya sambil menambah gas itu bagaimanapun tidak dikesan dalam sampel darah dan air kencing 10 pelajar dirawat di hospital.

Beliau berkata, ujian bagi hidrogen sianida, sianida, hidrogen tiosianat dan bahan organik mudah meruap juga negatif.

Katanya, 6 daripada 10 pelajar yang dirawat di hospital menunjukkan tanda kebimbangan ketika menjalani ujian saringan stres, kebimbangan dan kemurungan (DASS).

Tiga daripada 6 pelajar itu turut terbabit dalam insiden Sungai Kim Kim, manakala seorang lagi menghidap asma bronkus.

Dzulkefly berkata, ia mungkin memburukkan lagi simptom akibat pencemaran itu.

“Enam pelajar itu akan dirujuk kepada pakar psikiatri kanak-kanak untuk mencari punca kebimbangan mereka.”

Setakat semalam, 748 orang dilaporkan mengalami gejala sesak nafas dan 709 daripadanya diberikan rawatan pesakit luar, manakala bakinya dimasukkan ke hospital.

Pada hari sama, 4 kes baru dilaporkan dengan semua pesakit itu dirawat di Klinik Kesihatan Pasir Gudang.

Tiga daripada pesakit itu kini dirawat di Hospital Sultain Ismail dan seorang lagi di Hospital Pakar Regency.