Putrajaya rujuk kematian di Kuala Koh perkuat saman terhadap Kelantan

Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh, Gua Musang, diberikan rawatan perubatan berikutan serangan penyakit yang menyebabkan kematian 14 penduduk setempat. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kematian 14 Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh di Gua Musang dirujuk oleh Putrajaya bagi memperkuatkan kesnya terhadap kerajaan Kelantan, yang berdepan saman kerana menceroboh 10 kawasan petempatan Orang Asli.

Dalam satu afidavit difailkan minggu lepas, Putrajaya berkata, insiden kematian di kampung tersebut menunjukkan bahawa kerajaan negeri pimpinan PAS gagal melindungi hak Orang Asli di Gua Musang.

“Saya mempunyai sebab untuk percaya bahawa insiden kematian dalam kalangan Orang Asli suku Batek adalah disebabkan oleh pengabaian dan/atau kegagalan kerajaan negeri mengiktiraf hak adat Orang Asli dan membenarkan tanah itu dimusnahkan dan dihakis atas nama “pembangunan progresif” negeri,” kata Khong Hui Li, pegawai khas kepada Peguam Negara, Tommy Thomas, dalam satu afidavit sokongan yang dilihat oleh FMT.

Putrajaya memfailkan saman terhadap kerajaan negeri Kelantan awal tahun ini berhubung dakwaan pencerobohan ke atas 10 petempatan Orang Asli di Pos Simpor.

Khong berkata, sama seperti kerajaan pusat, kerajaan negeri mempunyai kewajipan fidusiari sebagai pemegang amanah bukan sahaja untuk melindungi kebajikan, kesejahteraan dan kemajuan komuniti itu, tetapi juga memelihara hak adat mereka.

Afidavit Khong turut dikepilkan dengan eksibit laporan berita yang disediakan oleh Centre for Orang Asli Concerns.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy sebelum ini berkata, kematian itu berlaku dari 2 Mei hingga 7 Jun tahun ini.

Beliau berkata, 2 meninggal dunia kerana jangkitan pneumonia sementara kematian 12 mangsa lain tidak dapat ditentukan kerana mereka dikebumikan sebelum laporan mengenainya dikeluarkan.

Penduduk tempatan mempersalahkan kegiatan perlombongan dan air minuman tercemar sebagai punca kejadian. Pihak berkuasa masih menyiasat.

Petempatan Kuala Koh dan Pos Simpor terletak di jajahan Bertam di Gua Musang.

Saman Putrajaya merupakan kes pertama yang difailkan oleh kerajaan persekutuan bagi melindungi hak tanah adat Orang Asli.

Saman tersebut menamakan kerajaan negeri, pengarah tanah dan galian negeri serta pengarah jabatan perhutanan negeri.

Ia juga menamakan 5 syarikat, iaitu Fleet Precision Sdn Bhd, Koperasi Kijang Mas Negeri Kelantan, KPG Maju Enterprise Sdn Bhd, Ringgit Saksama (M) Sdn Bhd dan M7 Plantation Bhd.

Kerajaan Kelantan dan agensinya memberikan lesen membalak kepada syarikat persendirian yang membenarkan mereka memasuki tanah adat Orang Asli suku Temiar di Pos Simpor.

Kawasan hutan yang luas didakwa ditebang untuk dijadikan ladang durian dan getah.

Dalam kenyataan tuntutannya, Putrajaya berkata, ia menafikan hak Orang Asli suku Temiar ke atas tanah adat dan sumber serta menyebabkan berlakunya hakisan meluas, pencemaran dan kerosakan kekal terhadap ekologi dan landskap Pos Simpor.

Pada 21 Julai depan, Mahkamah Tinggi di Kota Baru akan mendengar permohonan kerajaan negeri untuk membatalkan saman tersebut.

Kerajaan Kelantan berkata, Putrajaya tidak mempunyai hak di sisi undang-undang untuk memfailkan kes berkenaan, dan Mahkamah Tinggi pula tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar saman tersebut atas asas perlembagaan.