Seorang lagi Orang Asli Hulu Terengganu masuk hospital

Ahli Parlimen Hulu Terengganu Rosol Wahid (2 dari kiri) melawat 2 Orang Asli Suku Semaq Beri yang dimasukkan ke hospital selepas mengalami demam dan batuk sejak minggu lalu di Hospital Hulu Terengganu Kuala Berang hari ini. (Gambar Bernama)

KUALA TERENGGANU: Seorang lagi pesakit Orang Asli dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu di Kuala Berang hari ini, kata Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohd Jusoh.

Beliau berkata, wanita berusia 50 tahun yang berasal dari Kampung Sungai Berua itu ditahan wad setelah datang ke hospital itu untuk membuat pemeriksaan kerana demam, batuk, selesema dan kurang selera makan.

“Pesakit ini mempunyai sejarah kontak dengan 2 lagi pesakit Orang Asli yang disahkan positif campak (Measles) sebelum ini. Keadaannya dilaporkan stabil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketika ini, terdapat 3 pesakit Orang Asli yang masih berada di hospital itu iaitu 2 pesakit perempuan dan seorang lelaki.

Sejak 12 Jun, Hospital Hulu Terengganu menerima kemasukan 15 pesakit Orang Asli yang berkaitan demam campak namun 12 pesakit dibenarkan pulang secara berperingkat mulai Jun lepas.

Daripada 15 pesakit itu, 12 pesakit disahkan positif dijangkiti wabak itu, 2 lagi negatif jangkitan dan seorang lagi pesakit masih menunggu keputusan makmal.

Selain itu, beliau berkata aktiviti survelan dan pengesanan kes secara aktif di perkampungan Orang Asli di Hulu Terengganu menemui 11 lagi penduduk Orang Asli di Kampung Sungai Berua sekali gus menjadikan jumlah saringan 493 orang sehingga kini.

“Bagaimanapun, hasil pengesanan yang dilakukan tidak menemui mana-mana Orang Asli yang mempunyai tanda dan gejala sakit,” katanya.

Terengganu mempunyai 4 perkampungan Orang Asli di 3 daerah iaitu 2 di Hulu Terengganu manakala yang lainnya di Besut dan Kemaman.