Wanita Islam didenda ingkar larangan burkini di Perancis

Beberapa bandar di Perancis mengenakan larangan burkini yang menyasarkan wanita Islam sejak Ogos 2016.

PETALING JAYA: Beberapa wanita Islam yang ditemani kumpulan aktivis hak asasi manusia, Alliance Citoyenne, memasuki kolam renang di bandar tenggara Grenoble dengan memakai burkini sebagai bantahan terhadap larangan tersebut di Perancis.

Portal Stepfeed melaporkan mereka sengaja mengingkari larangan tersebut, mengatakan ia satu bentuk diskriminasi dengan harapan kota itu akan mengubah dasarnya berhubung larangan memakai burkini di kolam awam.

Bantahan mereka adalah sebahagian daripada kempen yang bermula pada Mei 2018 yang menggesa datuk bandar memperbaharui dasar penggunaan kolam renang.

Kolam renang tersebut kemudiannya ditutup selepas penyelamat yang bertugas mempersoalkan tindakan wanita terbabit.

Menurut laporan BBC, polis menyoal siasat wanita tersebut dan didenda $40 kerana melanggar larangan yang dikuatkuasakan sejak 3 tahun lalu.

“Kita mesti berjuang menentang dasar dan prejudis yang diskriminatif di Perancis, kerana kita sebenarnya tidak mendapat akses terhadap kemudahan awam dan infrastruktur milik negara,” petik kenyataan seorang wanita.

Beberapa bandar di Perancis mengenakan larangan burkini yang menyasarkan wanita Islam sejak Ogos 2016.

Sebuah mahkamah bagaimanapun menggantung larangan itu dengan berkata, burkini tidak membawa sebarang ancaman kepada ketenteraman awam.

Larangan itu dikuatkuasakan susulan satu siri serangan maut oleh pengganas di Perancis, tetapi ia turut menimbulkan persoalan mengenai tempat yang mempunyai populasi ramai umat Islam dan Arab dalam masyarakatnya.