Akhbar The Nation hentikan edisi cetak selepas 48 tahun

The Nation adalah akhbar harian berbahasa Inggeris di Thailand. (Gambar Bernama)

BANGKOK: Akhbar harian Thailand The Nation menerbitkan edisi cetakan terakhirnya semalam selepas 48 tahun akhbar itu berada di pasaran.

Akhbar harian berbahasa Inggeris itu yang terkenal dengan laporan berita bebasnya, akan beroperasi dalam talian sepenuhnya.

Dalam edisi terakhirnya semalam, akhbar harian itu menerbitkan editorial khas di halaman depannya bertajuk, A New Beginning at 48.

Ia berkata akhbar harian itu melakukan perubahan beralih daripada edisi cetak ke wadah digital sepenuhnya.

“Walaupun kemajuan teknologi melingkari media dan komunikasi, kandungan berkualiti tidak pernah ketinggalan zaman, jadi fokus kami adalah memastikan berita dan laporan khas kami tepat, bertanggungjawab dan kreatif untuk terus meningkatkan pengalaman pengguna.

“Ini adalah antara keutamaan yang kami akan perjuangkan dalam perjalanan baru ini,” katanya.

The Nation adalah sebahagian daripada Nation Multimedia Group (NMG), syarikat senaraian awam yang diambil alih oleh pengurusan baru.

Pada Mei lepas, Ketua Pegawai Eksekutif NMG Somchai Meesen berkata keputusan untuk menghentikan edisi cetak oleh pihak pengurusan tersebut bertujuan untuk mengelakkan kerugian di samping memperluaskan pasarannya.

Beliau berkata sejak 5 tahun lalu, akhbar harian itu mengalami kerugian secara purata 30 juta baht setahun.

Susulan langkah yang diambil The Nation untuk menghentikan edisi cetaknya, Bangkok Post, yang diwujudkan pada 1946, kini adalah satu-satunya akhbar harian berbahasa Inggeris di Thailand.