Majlis tentera Sudan terima cadangan kongsi kuasa

Jurucakap TMC Shams al-Din Kabashi berkata, TMC akan menyambung semula rundingan Alliance of Freedom and Changes Forces (AFCF) berdasarkan inisiatif Afrika. (Gambar Facebook)

KHARTOUM: Majlis Tentera Peralihan (TMC) Sudan pada Jumaat menerima cadangan dikemukakan Kesatuan Afrika dan Ethiopia mengenai perkongsian kuasa dengan pembangkang, lapor agensi berita Anadolu.

Pengumuman itu dibuat di tengah-tengah bantahan di seluruh negara yang akan berterusan hingga 30 Jun.

Setakat ini, pihak pembangkang belum memberikan sebarang reaksi balas terhadap pengumuman itu.

Dalam ucapan disiarkan stesen televisyen, jurucakap TMC Shams al-Din Kabashi berkata, TMC akan menyambung semula rundingan Alliance of Freedom and Changes Forces (AFCF) berdasarkan inisiatif Afrika.

“TMC telah mengkaji cadangan dikemukakan Kesatuan Afrika dan Ethiopia, walaupun mempunyai beberapa syor lain, kami fikir ia dapat memberikan asas baik untuk perbincangan terhadap pembentukan institusi peralihan,” kata Kabashi.

Sebelum ini, TMC menolak inisiatif Ethiopia dan mencadangkan menggabungkan inisiatif itu dengan syor Kesatuan Afrika. Sebaliknya, AFCF menerima cadangan Ethiopia.

Ethiopia mengesyorkan majoriti kerusi Parlimen diperuntuk kepada AFCF serta pembentukan Majlis Menteri.

Ia juga mencadangkan sejumlah 7 kerusi diperuntuk masing-masing untuk pihak awam dan tentera.