NGO: Keperluan pendidikan Orang Asli bandar, pedalaman tak sama

MBOA menggesa kerajaan berbincang dengan NGO dalam perancangan dan pelaksanaan rancangan meningkatkan tahap pendididkan Orang Asli. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Majlis Belia Orang Asli (MBOA) menggesa kerajaan menjalankan kajian intensif mengenai cara hidup masyarakat etnik yang berbeza dalam cubaannya meningkatkan tahap pendidikan anak-anak Orang Asli.

Presiden MBOA, Clive Allen Williams Hunt, berkata masyarakat Orang Asli yang tinggal di kawasan bandar mempunyai keperluan yang berbeza dengan keperluan mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.

Hunt memberitahu FMT, mereka yang tinggal di kawasan bandar dan pinggir bandar perlu terlibat dalam program yang akan meningkatkan pengetahuan mereka yang diperoleh daripada interaksi sosial dan pendedahan kepada teknologi.

Mereka yang tinggal di kawasan pedalaman dan terpencil mungkin boleh diperkenalkan kepada pendidikan vokasional untuk memanfaatkan “kemahiran unik” mereka.

Tetapi beliau juga berkata tidak hanya satu penyelesaian khusus untuk semua masyarakat Orang Asli di luar bandar kerana mereka mempunyai keunikan budaya di setiap lokasi.

Beliau mengulas mengenai pengumuman kerajaan yang berusaha mengurangkan jumlah pelajar Orang Asli yang keciciran sekolah selepas menamatkan pendidikan rendah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy baru-baru ini berkata kurangnya motivasi adalah alasan bagi kadar keciciran sekolah yang tinggi walaupun ia berkurang daripada 20% pada 2015 kepada 17% pada 2019.

Hunt berkata “kurang pemahaman tentang pentingnya pendidikan” adalah cara yang terbaik untuk menanganinya berbanding “kekurangan motivasi”.

“Ini kerana mereka hidup dalam persekitaran yang sama sepanjang hidup mereka dan belum terdedah kepada dunia luar.

“Tetapi ini hanya terpakai kepada kawasan luar bandar dan terpencil. Bagi mereka yang lain, kita perlu mengkaji masalah mereka sebelum kita dapat membuat kesimpulan,” katanya.

Beliau menggesa kerajaan berbincang dengan NGO dalam perancangan dan pelaksanaan rancangannya.

“NGO telah bekerjasama dengan komuniti ini di peringkat akar umbi dan mereka mempunyai data penting yang boleh dikongsi untuk memfokuskan kawasan mana yang memerlukan tindakan serta-merta dan kawasan mana yang boleh digunakan sebagai model untuk perancangan.

“Dan hasil dari perbincangan meja bulat, digabungkan dengan penyelidikan dari universiti, boleh dikemukakan kepada pihak berkepentingan untuk mencipta program yang sesuai,” katanya.