NUTP: Latih guru kendali kes disiplin mirip jenayah

Latihan mengendalikan kes disiplin mirip perlakuan jenayah penting bagi mengatasi masalah disiplin pelajar yang dilihat semakin membimbangkan pada masa kini.

KUALA LUMPUR: Golongan guru perlu diberi latihan khusus untuk mengendalikan kes disiplin di sekolah yang mirip kepada perlakuan jenayah, kata Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Harry Tan Huat Hock.

Beliau berkata perkara itu penting bagi mengatasi masalah disiplin pelajar yang dilihat semakin membimbangkan pada masa kini.

“Kes mirip kepada jenayah ini seperti membuli, mencuri, salah laku seksual, penyalahgunaan dadah dan sebagainya. Jika dahulu perkara ini kurang berlaku tetapi sekarang fenomenanya berbeza kerana masyarakat lebih kaya serta berkemampuan dan perkara itu sendiri wujud dalam masyarakat yang akhirnya membawa kepada kes jenayah di sekolah.

“Oleh itu, sangat penting bagi seorang guru diberi latihan dan pendedahan bagi mengendalikan kes-kes berkenaan,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel (BNC) di Wisma Bernama, malam tadi.

Harry Tan berkata seseorang guru itu perlu diberi pendedahan dari segi undang-undang dan memiliki pengetahuan bahawa perkara dilakukan seperti memberi hukuman kepada pelajar atas kesalahan tertentu, tidak menyalahi undang-undang.

Dalam pada itu, beliau berkata 2 perkara yang perlu diambil berat oleh guru dalam proses pembelajaran adalah mengenai pendidikan psikologi dan sosial.

“Apabila seseorang guru itu mendidik, 2 perkara itu perlu ada, tetapi sekarang masyarakat hanya fokus untuk pelajar nak dapat ‘A’. Oleh itu guru akan lebihkan kepada bagaimana nak bagi pelajar dapat ‘A’, jadi perkara seperti itu (pendidikan psikologi dan pendidikan sosial) dibelakangkan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata beberapa perkara perlu ada bagi seorang guru dalam membentuk peribadi dan menangani disiplin pelajar.

Beliau berkata antaranya ialah melalui sikap mencegah dengan cara merancang aktiviti dalam kelas bagi menghindarkan pelajar melakukan perkara tidak sihat, perlu selalu memberi sokongan kepada pelajar dan sentiasa membetulkan disiplin mereka, jelasnya.