Umno: Kenyataan Mujahid mengenai Xinjiang malukan Islam, negara

Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Umno mendakwa tindakan Mujahid Yusof Rawa menggunakan istilah “pusat latihan” merujuk sebuah kem kontroversi yang ditubuhkan untuk “mendidik semula” penentang beragama Islam di wilayah Xinjiang yang bergolak memalukan umat Islam dan negara.

Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin berkata kenyataan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menggambarkan betapa terkebelakangnya pendirian kerajaan Pakatan Harapan berkaitan isu hak asasi minoriti Islam di Xinjiang.

“Penggunaan terma ‘pusat latihan’ adalah ‘an endorsement’ kepada dasar penindasan umat Islam di Xinjiang.

“Begitu juga apabila beliau menyifatkan laporan mengenai penindasan umat Islam di China sebagai ‘berita palsu dari China’ apabila berucap di Bejing Foreign Studies University,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mujahid sebelum ini berkongsi di Facebook tentang lawatannya ke “pusat latihan dan vokasional bagi masyarakat Uighur”, istilah yang digunakan Beijing bagi menempatkan ribuan orang Islam yang mengkritik dasar China di Xinjiang.

Menurut Mujahid, pusat itu menjalankan aktiviti “latihan perindustrian” seperti menjahit dan mengakhiri kenyataannya dengan #RahmatanLilAlamin.

Khaled bagaimanapun berkata tiada “pusat latihan” di Xinjiang, sebaliknya “concentration camp” yang mempunyai satu tujuan iaitu menghapuskan identiti, kepercayaan dan budaya golongan minoriti seperti Uighur, Kazakh, Tajik dan lain-lain.

Beliau berkata Mujahid seharusnya menyampaikan rasa prihatin, kesal dan protes umat Islam Malaysia dan dunia terhadap apa yang berlaku di Xinjiang.

“Tetapi apa yang berlaku ialah beliau memberikan ‘persetujuan’ terhadap dasar penindasan yang sistematik terhadap golongan minoriti khususnya Uighur di Xinjiang,” katanya.