Kula gugur idea ambil pekerja warga Afrika

Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran.

PETALING JAYA: Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran hari ini berkata, beliau mengetepikan idea untuk membawa masuk pekerja dari Afrika bagi memenuhi masalah kekurangan pekerja dalam sektor peladangan kelapa sawit.

Keputusan untuk “menggugurkan keseluruhan cadangan” itu dibuat selepas pertemuan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang berkata tidak akan keperluan untuk mengimport pekerja dari Afrika.

Dalam satu kenyataan malam ini, Kula Segaran berkata, “oleh sebab perdana menteri berkata tidak ada keperluan membawa pekerja dari Afrika, maka saya akan memaklumkan kepada pemilik ladang bahawa keseluruhan cadangan membawa masuk pekerja asing ke Malaysia digugurkan.”

Kula berkata, kenyataannya sebelum ini mengenai perkara itu dipetik di luar konteks sehingga menimbulkan kontroversi.

PSM hari ini mendesak kementerian terbabit supaya tidak tunduk kepada kehendak pemilik ladang yang hanya mahu meneruskan dasar gaji murah.

Kula berkata, cadangan itu timbul dalam sesi bertemu pemilik ladang di Cameron Highlands yang memberitahu bahawa mereka berdepan masalah kekurangan pekerja.

Mereka seterusnya mencadangkan supaya kerajaan menimbangkan kemungkinan mengambil pekerja dari Afrika, terutama dari negeara di mana Malaysia membuat pelaburan.

“Ia kelihatan seperti cadangan yang munasabh berlatarbelakangkan masalah kekurangan pekerja di estet di Malaysia,” kata Kula.

“Dalam konteks sesi pertemuan inilah saya timbulkan idea bahawa kerajaan mungkin perlu melihat ke Afrika bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja di sektor peladangan di negara ini.

“Dalam pada itu turut ditimbulkan ialah keperluan mendapatkan kelulusan Kabinet mengenai cadangan itu. Ia tidak berlaku pun.”

Kula berkata, pemilik estet menganggarkan kerugian kira-kira RM10 bilion setahun akibat buah tidak dipetik kerana kekurangan pekerja.

Katanya, buah kelapa sawit perlu dipetik dalam tempoh 21 hari selepas masak, dan masalah kekurangan pekerja untuk memetiknya menyebabkan berlakunya lambakan.

Beliau berkata, pemilik estet juga memberitahu bahawa pekerja dari Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Vietnam tidak lagi berminat untuk bekerja di ladang kelapa sawit, sebaliknya lebih cenderung kepada pekerjaan lain yang enggan dilakukan oleh rakyat Malaysia.