Lelaki Brunei miliki dadah lebih RM20,000 ditahan di sempadan

200 pil berwarna biru, merah, hijau dan kuning dipercayai dadah jenis Methylenedioxy methamphetamine dijumpai dadah kenderaan dengan nombor pendaftaran Brunei.

MIRI: Polis menahan seorang lelaki warga Brunei bersama dadah seberat 64.32G bernilai RM24,000 di Komplek Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Sungai Tujuh, Kuala Baram lewat malam tadi.

Ketua Polis Daerah Miri Lim Meng Seah berkata suspek berusia 28 tahun itu ditahan pada 11.40 malam oleh polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri yang menahan kereta yang dipandu oleh suspek di CIQ tersebut.

“Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan jenis Toyota Land Cruiser Prado dengan nombor pendaftaran Brunei menjumpai 200 pil berwarna biru, merah, hijau dan kuning dipercayai dadah jenis Methylenedioxy methamphetamine (MDMA),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim berkata pil itu dibungkus dalam 4 paket plastik lutsinar kecil dengan setiap paket mengandungi sebanyak 50 pil mengikut 4 warna tersebut.

Menurutnya, pasport suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau itu turut dirampas oleh polis dan kes disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.