Mahasiswa gesa Maszlee hadir mesyuarat jawatankuasa mansuh Auku

Maszlee Malik berkata kementeriannya sedang menggubal akta baru menggantikan Auku dan beberapa akta lain untuk memberi kebebasan akademik dan autonomi kepada universiti. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Aktivis mahasiswa yang menuntut penghapusan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku) menggesa Menteri Pendidikan Maszlee Malik hadir ke mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Mansuh Auku bagi mengetahui kemelut dalaman isu tersebut.

Wakil Jawatankuasa Mahasiswa Mansuh Auku, Huda Ramli berkata Maszlee tidak boleh difahamkan hanya dengan laporan oleh pegawainya dalam sebaris dua ayat mahupun seperenggan taklimat.

“Sedangkan di peringkat itu lah pemegang-pemegang taruh berperang.

“Jika saya yang menjadi Maszlee, saya akan datang mesyuarat JK Teknikal Mansuh Auku kerana di situ ada perbincangan serius dan isu-isu berkaitan yang disuarakan,” kata mahasiswa sarjana dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu kepada FMT.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pengumuman Maszlee yang menyebut kementeriannya sedang menggubal akta baru menggantikan Auku dan beberapa akta lain untuk memberi kebebasan akademik dan autonomi kepada universiti.

Maszlee berkata, antara langkah selepas ini ialah menggubal akta pendidikan tinggi baru untuk menggantikan Auku, Akta Pendidikan Tinggi Swasta 1996 dan akta melibatkan institusi pengajian tinggi yang bersifat akademik.

Mengulas lanjut, Huda berharap Maszlee akan mempertimbangkan untuk hadir ke mesyuarat jawatankuasa itu sebelum akta baru itu berkuatkuasa.

Tambahnya, ini juga mengelakkan akta baru itu daripada menjadi Auku 2.0.

“Sebelum Maszlee dikecam bertalu-talu, baiklah beliau turun dan masuk mesyuarat serta fahami isu seputar Auku dalam perjumpaan tersebut.

“Tapi kalau tak faham peri penting keberadaan beliau dalam perbincangan dengan pemegang-pemegang taruh, selamanya beliau tak akan faham hala tuju akta baru itu,” katanya.

Sementara itu, ahli Jawatankuasa Teknikal Mansuh Auku, Azura Nasron berkata, Maszlee tidak boleh sekadar bercakap mahu menghapuskan akta itu tanpa meneliti segala tindak tanduk yang dibuat dalam jawatankuasa itu.

Hal ini katanya, birokrasi di bawah menteri itu mungkin tidak progresif seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

Tambahnya, Maszlee juga perlu fokus kepada pengisian dalam usaha menghapuskan akta itu sebelum menggubal akta baru.

“Sama macam ‘speakers corner’, ramai guna alasan kita dah beri kebebasan bercakap tapi mahasiswa tak nak bercakap.

“Kita salahkan mahasiswa yang sudah berpuluh tahun tak ada kebebasan. Jadi mereka tak faham pun apa itu kebebasan,” katanya kepada FMT.

Azura berkata 1 bengkel berhubung isu itu diadakan di UIAM pada 26 hingga 28 April lalu, dihadiri hampir seluruh wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Bagaimanapun, hanya wakil MPP UIAM gagal menghadirkan diri sedangkan penganjuran bengkel oleh kementerian itu dibuat di universiti tersebut.

“Ini satu lagi hal. Lepas tu, beliau (Maszlee) nak buat apa, semua benda nak terarah ke UIAM,” katanya.

Huda dan Azura merupakan antara mahasiswa yang membuat demonstrasi di bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Putrajaya pada bulan September tahun lalu.