Orang Asli dapat semula akses kepada tanah pusaka di Gua Musang

Peguam G Ragumaren (atas kiri) dan David Ragumaren meraikan kemenangan mereka dengan defendan Orang Asli di luar Mahkamah Tinggi Kota Baru hari ini.

PETALING JAYA: Orang Asli suku Temiar i 10 petempatan di Pos Simpor, Gua Musang, memperoleh kemenangan besar ke atas sebuah syarikat kerana menceroboh tanah pusaka mereka.

Mahkamah Tinggi di Kota Baru hari ini membatalkan pernyataan tuntutan M7 Plantation Bhd dan satu injunksi terhadap “wakil” Orang Asli Mustafa Along.

Pesuruhjaya Kehakiman Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, terdapat merit dalam hujahan Orang Asli dan Mustafa untuk membatalkan tuntutan dan dilepaskan perintah sekatan.

Beliau berkata, fakta yang dihujahkan oleh M7 Plantation dalam pernyataan tuntutannya adalah kosong dan tidak khusus.

“M7 juga menamakan Mustafa sebagai pihak yang salah dalam tindakan mereka kerana beliau hanyalah jurucakap bagi Orang Asli di petempatan berkenaan,” kata Wan Ahmad.

Mustafa adalah pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan.

Hakim juga berkata, beliau bersetuju dengan peguam defendan bahawa M7 tidak mengemukakan keterangan bagi menyokong dakwaan bahawa kerajaan Kelantan atau agensinya memberikan lesen kepada mereka untuk menjalankan aktiviti komersil, termasuk menanam pokok durian.

M7 memfailkan tindakan undang-undang terhadap Orang Asli dan Mustafa apabila mereka menghalang laluan masuk ke tanah pusaka mereka pada Ogos tahun lepas.

Pada 6 Nov 2018, Mahkamah Tinggi memberikan injunksi antara pihak kepada syarikat yang menyebabkan hadangan dan sekatan yang didirikan oleh Orang Asli bagi menghalang M7, kakitangannya dan syarikat lain daripada memasuki dan menebang hutan bagi menjalankan aktiviti mereka diruntuhkan.

Bagaimanapun pada Mac tahun ini, pihak defendan memfailkan satu permohonan bagi membatalkan saman M7 dan injunki tersebut atas hujahan bahawa tindakan mereka adalah remeh, menyusahkan dan menyalah guna proses mahkamah.

Peguam G Ragumaren yang mewakili defendan berkat, penghakiman hari ini bermakna Orang Asli boleh menaikkan semula hadangan dan sekatan bagi menghalang mana-mana syarikat persendirian daripada menceroboh tanah berkaitan.

“Ia merupakan kemenangan besar bagi Orang Asli yang selama ini menentang syarikat persendirian yang mahu mengeksploit tanah mereka dan menyebabkan ketidakseimbangan ekologi” kata beliau yang dibantu oleh David Ragumaren.

Awal tahun ini, kerajaan persekutuan memfailkan saman bagi melindungi hak tanah adat Orang Asli.

Saman pertama dalam sejarah itu menamakan kerajaan Kelantan pimpinan PAS, pengarah tanah dan galian negeri dan pengarah jabatan perhutanan negeri sebagai defendan.

Ia juga menamakan 5 syarikat, iaitu M7 Plantation Bhd, Koperasi Kijang Mas Negeri Kelantan Bhd, KPG Maju Enterprise Sdn Bhd, Ringgit Saksama (M) Sdn Bhd dan Precision Sdn Bhd.

Putrajaya mahu mendapatkan satu injunksi bagi menghalang syarikat persendirian daripada mencerobohi tanah pusaka Orang Asli bagi menjalankan aktiviti komersil, selain beberapa deklarasi lain.

Kerajaan negeri Kelantan dan agensinya memberikan lesen membalak kepada syarikat persendirian dan membenarkan mereka memasuki tanah adat Orang Asli suku Temiar di Pos Simpor.

Dilaporkan kawasan hutan yang luas ditebang untuk peladangan durian dan getah.

Dalam pernyataan tuntutannya, Putrajaya berkata, tindakan itu menyebabkan Orang Asli suku Temiar kehilangan tanah adat dan sumber, selain menyebabkan hakisan meluas, pencemaran dan kemusnahan kekal ke atas ekologi dan landskap Pos Simpor.

Mahkamah Tinggi di Kota Baru akan mendengar permohonan kerajaan negeri untuk membatalkan saman tersebut pada 21 Julai depan.

Kerajaan Kelantan berhujah bahawa Putrajaya tidak mempunyai hak di sisi undang-undang untuk memfailkan kes berkenaan, dan bahawa Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar saman berkenaan atas asas perlembagaan.