PSM gesa Kula tidak tunduk kehendak pemilik ladang

PSM menggesa Kementerian Sumber Manusia supaya tidak mengikut rentak pemilik ladang yang mahu menggunakan pekerja gaji murah.

PETALING JAYA: Anggota Jawatankuasa Pusat PSM S Arutchelvam hari ini membidas sindiran bersifat perkauman terhadap warga Afrika berikutan cadangan membawa mereka masuk ke negara ini sebagai pekerja di ladang.

“PSM menolak sikap perkauman terhadap pekerja dari negara Afrika,” katanya.

Jumaat lepas, Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran berkata, baru-baru ini beliau berbincang tentang perkara itu dengan duta negara Afrika dan kini menunggu maklum balas daripada mereka.

Beliau berkata, pekerja asing dari Vietnam dan Indonesia tidak lagi berminat untuk bekerja di Malaysia kerana gaji yang diterima tidak jauh berbeza berbanding gaji di negara asal mereka.

Arutchevam berkata, walaupun berasal daripada latar belakang pekerja ladang, Kula terlalu banyak mendengar tuntutan pemilik ladang yang mahukan pekerja bergaji rendah.

“PSM terkejut membaca kenyataan menteri terbabit kerana ia menggalakkan dan mengiktiraf dasar gaji murah kerana keputusan itu hanya memberi manfaat kepada pemilik ladang, bukannya pekerja.”

S Arutchelvam.

Katanya, pada 16 Jun, Jawatankuasa Sokongan Pekerja Ladang PSM (JSML) mengadakan satu pertemuan di Kerling, Selangor yang dihadiri 80 pekerja ladang dari 40 estet di Malaysia.

“Salah satu tuntutan utama mereka adalah berkaitan upah yang murah dan gaji minimum RM1,100 sebulan yang tidak mencukupi. Mereka kini mahukan gaji minimum sebanyak RM1,500.

“Mereka juga mengkritik Kesatuan Kebangsaan Pekerja Ladang (NUPW) kerana tidak menaikkan gaji dalam perjanjian kolektif dan kerana akur pada paras gaji minimum kebangsaan.”

Arutchelvam berkata, dalam kenyataannya itu, Kula sendiri mengakui bahawa pekerja asing dari Vietnam dan Indonesia menganggap gaji yang diterima di negara ini tidak berbeza dengan gaji yang diterima di negara asal mereka.

“Justeru, satu-satunya motif membawa masuk pekerja dari Afrika ialah untuk membayar gaji rendah kepada mereka.

“Membawa masuk pekerja asing dan membayar mereka gaji yang rendah hanya akan menggagalkan usaha untuk meningkatkan gaji pekerja ladang yang kini bekerja di Malaysia.

“Langkah ini akan melemahkan dan memanipulasi peningkatan gaji melalui mekanisme permintaan dan penawaran.

“Ia juga akan melemahkan usaha kesatuan meningkatkan gaji pekerja ladang.”

Arutchelvam menggesa kementerian supaya melindungi kepentingan majoriti pekerja di negara ini dan “tidak mengikut rentak pemilik ladang”.

Beliau berkata, pemilik ladang hanya mahu meneruskan gaji rendah, bukannya membayar gaji sara hidup yang berpatutan kepada pekerja mereka.