Cukupkah kasih sebagai penawar ketagihan ‘meth’?

“Crystal meth” atau methamphetamine adalah dadah perangsang yang kuat dan menagihkan. (Gambar Bloomberg)

PUCHONG: Kemalangan jalan raya dan kecederaan dialami anak perempuannya mengejutkan penagih “crystal-meth” Adam tentang betapa parahnya kehidupan yang dilaluinya.

Beliau bersumpah untuk menghentikan gaya hidup penagih methnya itu demi anak perempuannya.

Namun untuk keluar daripada menagih dadah yang tahap ketagihannya begitu tinggi selepas sekian lama bukanlah mudah. Kini 2 bulan selepas hisapan terakhirnya, gejala tarikan yang dihadapi masih memeritkan.

“Ada masanya, pada waktu rasa ketagihan sangat kuat, saya kekejangan, tetapi terus berusaha mengharungi rasa sakit dan menggigil badan,” Adam, kini 39, memberitahu FMT baru-baru ini.

Sejarah Adam dengan “crystal-meth” bermula pada 2010 apabila beliau disuruh mencubanya oleh “kawan-kawan”.

“Selepas setengah jam pertama, saya berasa seperti separuh sedar. Saya sukakannya,” kata beliau. “Saya berasa seperti boleh melupakan semua masalah.”

“Crystal-meth” atau methamphetamine adalah sejenis dadah perangsang yang kuat dan sangat menagihkan. Ia juga biasa dikenali dengan nama “ice”, “blue” dan “speed”.

Pengguna khayal dengan menyedut tepung itu melalui hidung, yang dikenali sebagai “snorting”; menyuntiknya ke saluran darah dalam campuran air atau alkohol, yang dikenali sebagai “slamming”, atau menghisapnya melalui sebuah “bong” atau “dapur” yang dikenali sebagai “puffing”.

Adam biasanya menghisap atau menyuntik dadah tersebut.

Beliau berkata, pengguna “ice” mengalami peningkatan emosi dan perasaan. Nikmat seks juga menjadi sangat menyeronokan.

Sebaik terbiasa dengan kesan itu, Adam tidak lagi puas dengan emosi atau nikmat seks biasa. Beliau perlu “high” setiap masa, lantas menjadi ketagih. Penagih “ice” yang dikenali sebagai “meth-heads” atau “tweaker” akan berbuat apa-apa sahaja untuk khayal.

Adam menjadi sangat terdesak sehingga kerap menyelinap keluar dari rumah keluarganya di Kelantan pada tengah malam untuk berjumpa penagih lain atau pengedar dadah itu.

Tidak sukar untuk mengenali penagih meth.

Individu berperwatakan menarik tiba-tiba bertukar menjadi tidak keruan dan lusuh. “Mulut-meth” merupakan perkara biasa, iaitu apabila gigi dan gusi pengguna meth menjadi hitam dan gigi tercabut. Mereka juga mengalami gatal-gatal kulit akibat kerap menggaru.

Kesan psikologi jangka panjangnya, termasuklah tingkah laku ganas, paranoia dan halusinansi.

Akhirnya Adam hilang jejak realiti dan bahaya yang datang bersama gaya hidup seorang penagih. Beliau menjadi tidak peduli dan tidak mengamalkan seks selamat. Seorang biseksual, Adam kemudiannya didiagnosis menghidap HIV.

Beliau kemudiannya dijangkiti sindrom AIDS yang menyebabkan sistem imunnya gagal. Adam keluar masuk hospital selama beberapa bulan.

Seseorang memberitahu keluarganya bahawa beliau menghidap HIV. Mereka sangat marah sehingga memaksa beliau keluar dari rumah keluarganya setahun lepas.

Adam balik ke rumah sempena Hari Raya tahun ini dalam keadaan fikiran serta kesihatannya merosot. Beliau tidak disambut mesra.

Beliau mengimbau kekesalan yang dirasainya ketika itu. Adam mengurung diri di dalam biliknya sepanjang malam dan tidak keluar-keluar, hatta untuk berbuka puasa.

Dengan rasa kecewa yang membuak, Adam membuat keputusan untuk memandu ke Kota Bharu untuk mengambil anak perempuannya yang berusia 8 tahun dari rumah bekas isteri beliau.

Adam mengambil anaknya, tetapi hanya selepas beberapa minit memandu di jalan raya, beliau berlanggar dengan sebuah kereta lain.

Muka anaknya terhantuk di papan pemuka. Berdarah dan ketakutan, anak perempuan itu meminta kehadiran ibunya. Adam lalu menelefon bekas isterinya yang datang dan membawa pulang anak mereka yang trauma itu.

Jelas Adam masih terkejut. “Saya percaya semuanya ditakdirkan Tuhan. Sewaktu memandu pulang sendirian, saya menangis dan berdoa serta bertanyakan Tuhan sama ada saya telah diuji secukupnya. Saya memintaNya menerima saya kembali.”

Adam kini berusaha keras untuk berhenti menagih dadah. Beliau kembali kepada keluarganya dengan bersyarat. Dia kini tinggal dengan adik perempuannya di Kuala Lumpur dan bekerja di syarikat milik beliau.

“Saya percaya Tuhan mengenali saya dan mengembalikan keluarga kepada saya.

Katanya, beliau tabah meneruskan perjuangannya itu kerana kasih kepada anak perempuannya. Beliau mahu menjadi seorang bapa yang layak dan diperlukan. Bapa yang boleh diharap.

Beliau pernah cuba berhenti menagih sebelum ini, tetapi sentiasa gagal. Kemurungan terus mengheretnya kembali ke kelompok “tweaker” yang dikenalinya.

Semua penagih yang berusaha untuk pulih memerlukan sokongan. Adam tidak mempunyai kawan yang mahu membantu. Kebanyakan mereka hanya menggalakkannya menagih semula. Setakat ini, beliau berjaya menghindari mereka.

Lebih 2 bulan selepas hisapan terakhirnya, Adam kerap mengunjungi hospital kerajaan bagi mendapatkan kaunseling dan mengambil ubat HIVnya. Selebihnya, ia merupakan perjuangan seorang diri yang sunyi.

Perjalanan menyiksakan yang dilalui Adam membawanya dari pengalaman menyeronokan ketika hisapan pertama ke kehinaan penagihan dan penyakit. Beliau kehilangan keluarga tercinta dan hampir kehilangan anak perempuannya.

Apakah keseronokan sementara yang dialami berbaloi dengan kehilangan keluarga dan harga diri?

Bagi Adam, jawapannya tidak. Paling kurang, setakat ini.

Bagaimanapun Adam sebenarnya tidak perlu mengharungi keperitan berjuang seorang diri.

Narcotics Anonymous adalah sebuah pertubuhan masyarakat antarabangsa untuk penagih yang berusaha untuk pulih. Anggotanya saling membantu untuk hidup bebas daripada dadah dan pulih daripada kesan ketagihan. Perkhidmatannya percuma. Maklumat lanjut boleh diperolehi di http://www.namalaysia.my/.