Mahkamah tolak permohonan Najib hadir sidang Dewan Rakyat

Ahli Parlimen Pekan, Najib Razak.

KUALA LUMPUR: Mahkamah hari ini menolak permohonan bekas perdana menteri, Najib Razak yang berdepan pertuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Hakim, Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata tiada kepastian bila sesi undian usul, rang undang-undang dan pindaan Perlembagaan akan diadakan.

“Ini bukan isu mahkamah hendak menghalang tertuduh daripada menghadiri Parlimen.

“Perkara yang penting adalah ahli Parlimen yang menjadi tertuduh juga sedang menghadapi 7 pertuduhan yang menjadi perkara pokok pada perbicaraan hari ini. Jadi, saya menolak permohonan penangguhan ini.”

Sidang Dewan Rakyat bermula hari ini sehingga 18 Julai ini dan antara usul yang akan dibahaskan ialah ahli Parlimen dan senator bersama pasangan serta anak mereka wajib mengisytihar aset masing-masing, serta rang undang-undang untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Kerajaan Pakatan Harapan juga dijangka mengemukakan pindaan Perlembagaan untuk menurunkan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun yang memerlukan sokongan 2/3 daripada 222 ahli Parlimen.

Najib berdepan 3 pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan penyalahgunaan kedudukan dan 3 dakwaan pengubahan wang membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Ahli Parlimen Pekan itu turut didakwa menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri untuk memberi jaminan kerajaan bagi pinjaman SRC International sebanyak RM4 bilion dari Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank cawangan Jalan Raja Chulan dan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 10 Februari 2015.

Timbalan pendakwa raya, Ishak Mohd Yusoff sedang meneruskan pemeriksaannya ke atas saksi ke-42, bekas pengarah SRC International Sdn Bhd, Suboh Md Yassin.

Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah berkata permohonan itu dibuat hari ini kerana agenda Dewan Rakyat hanya diumumkan minggu lalu.

Katanya, Najib berharap dapat menyertai perbahasan pengisytiharan harta kerana beliau biasa dengan perkara itu ketika menjadi perdana menteri.

“Beliau turut membincangkan subjek itu dengan pembangkang ketika itu.”

Beliau berkata, perbahasan mungkin bermula selepas sesi pertanyaan dan undian boleh diadakan pada bila-bila masa.

“Ia adalah topik kontroversi dan boleh berterusan hingga tengah malam.”

Katanya, sebarang pindaan Perlembagaan memerlukan kerjasama semua ahli Parlimen kerana kerajaan tidak mempunyai majoriti 2/3.

Shafee berkata, walaupun Najib berdepan pertuduhan jenayah, tetapi beliau berhak menghadiri sidang Dewan Rakyat untuk memenuhi tanggungjawabnya sebagai ahli Parlimen.

Beliau merujuk mendiang Karpal Singh, seorang peguam dan ahli Parlimen yang diberikan kebenaran oleh mahkamah untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Katanya, Anwar Ibrahim yang sebelum ini berdepan pertuduhan jenayah, turut dibenarkan menghadiri sidang Dewan Rakyat ketika perbicaraannya berlangsung.

Beliau berkata, mahkamah akan didapati menghina Parlimen, jika ia menghalang ahli Dewan Rakyat menghadiri prosidingnya.

“Lebih-lebih lagi, anak guam saya boleh dibatalkan kelayakan sebagai ahli Parlimen jika beliau tidak hadir untuk 6 bulan berterusan,” katanya sambil menambah sidang terakhir pada Mac lalu dan sidang seterusnya pada Oktober nanti.

Peguam, Kamarul Hisham Kamarudin yang turut menganggotai pasukan pembelaan Najib berkata, bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng boleh menghadiri sidang Dewan Rakyat tahun lalu walaupun berdepan perbicaraan rasuah.

Bagaimanapun, Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, pasukan pembelaan tidak membangkitkan perkara itu dalam pertemuan dengan Nazlan dalam kamarnya ketika pengurusan kes sebelum ini.

“Perbicaraan berjalan terlalu perlahan dan ia adalah kes berkepentingan nasional.”

Katanya, walaupun Najib seorang ahli Parlimen, beliau patut mendapat layanan sama seperti tertuduh lain di mahkamah.

Beliau berkata, Najib boleh menghadiri sidang Dewan Rakyat selepas perbicaraan berakhir petang nanti kerana perbahasan mungkin berterusan sehingga tengah malam.

“Tertuduh perlu berkorban. Beliau perlu duduk di kandang tertuduh.”

Katanya, pihak pembelaan sering mendakwa Najib boleh membuktikan kesnya di mahkamah dengan cepat, tetapi sekarang nampaknya beliau sedang mengambil setiap peluang untuk menangguhkan perbicaraan.