Penjawat awam tak boleh berfungsi jika tidak bersatu, kata Dr M

Dr Mahathir Mohamad berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA: Dr Mahathir Mohamad hari ini mengingatkan kepentingan perpaduan kepada anggota pentadbirannya kerana penjawat awam tidak boleh berfungsi sebagai satu pasukan tanpanya.

Perdana menteri berkata, beliau membaca satu laporan mengenai perkhiidmatan awam dilihat kurang berkesan berbanding dulu.

“Itu mungkin benar, mungkin juga tidak benar secara keseluruhannya. Bagaimanapun, apabila kita ditegur, kita tidak patut melenting.

“Sebaliknya, kita ambil kira teguran itu sama ada mempunyai asas ataupun tidak. Jika kita dapati ada asas-asasnya, maka hendaklah kita betulkan diri kita,” katanya dalam perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy dan Ketua Setiausaha Negara, Ismail Bakar.

Mahathir berkata, isu itu membabitkan penjawat awam berpangkat tinggi dan rendah dalam Jabatan Perdana Menteri.

“Dalam badan-badan yang terdapat dalam JPM ini, ada banyak masalah kerana kadang-kadang kita dapati kita terpaksa bekerja dengan orang yang mungkin tidak ‘sebulu’, tak sesuai dengan kita.”

Katanya, ini sebabnya toleransi, bertimbang rasa dan menerima kelainan dalam kalangan mereka adalah kualiti diperlukan.

“Kalau tidak bertoleransi, tidak sanggup bertimbang rasa, maka agak sukar bagi kita menjalankan tugas dalam sesuatu badan yang sudah tentu mempunyai orang di pelbagai peringkat.”

Beliau berkata, kerajaannya mengenal pasti hubungan bermasalah antara “yang baru dan lama”, serta ia adalah perkara yang perlu diselesaikan semua pihak.

“Pada bulan Raya ini, kita diingatkan menjadi pemaaf. Kita kata maaf zahir dan batin. Ini yang selalu kita katakan pada bulan Raya.

“Ini sesuatu yang perlu kita amalkan.”

Mahathir turut menggesa semua rakyat bertimbang rasa, memaafkan satu sama lain dan bekerjasama untuk menjalankan tugas dengan baik, mentadbir negara dengan betul dan menikmati hasil usaha mereka.