PH tak akan kalah PRK jika dapat kepercayaan rakyat, telus, kata Shahidan

Shahidan Kassim (BN-Arau) hari ini mencabar PH supaya membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya jika ia mendapat sokongan rakyat.

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) tidak akan tewas 3 pilihan raya kecil (PRK) jika parti pemerintah itu terus mendapat kepercayaan kerana mengamalkan dasar pentadbiran yang telus, kata Shahidan Kassim.

Beliau berkata demikian bagi menjawab kenyataan Wong Hon Wai (DAP-Bukit Bendera) yang sebelum itu mendakwa, rakyat memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH) kerana mengamalkan pentadbiran telus, termasuklah mengisytiharkan harta secara terbuka.

“Kalau betul rakyat sokong, kenapa 3 PRK kalah? Kalau bubar Parlimen hari ini hancur PH. Itu saya nak bagi tahu,” katanya yang merupakan ahli Parlimen Arau di Dewan Rakyat hari ini.

“Kalau betul DAP disokong rakyat, bubar Dewan Rakyat
buat pilihan raya,” katanya.

Shahidan berkata, 70% pengundi Bumiputera Melayu sudah bersatu dan tidak mustahil akan kembali menguasai pentadbiran di Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.

“70% kuasa Bumiputera Melayu akan kuasai negara ini, faham?

“Sebelum ini orang Melayu sokong kamu (PH) kerana kamu buat fitnah. Selepas ini orang Bumiputera Melayu akan bersatu hancurkan kamu,” katanya.

Terdahulu Wong, ketika perbahasan usul mewajibkan wakil rakyat, termasuk keluarga mereka mengisytiharkan harta berkata, wakil rakyat PH lebih berjaya dan terus disokong rakyat.

“Apabila kita sebut wakil rakyat Tanjung, Nibong Tebal, Bagan, apabila mereka isytihar harta, mereka lebih berjaya dalam kerjaya.

“Saya gembira apabila pembangkang tidak isytihar harta, jadi rakyat akan hukum mereka kerana enggan isytihar harta,” katanya.

Kenyataan Wong turut mendapat kritikan, Noh Omar (BN-Tanjong Katang) yang membangkitkan isu ketelusan pentadbiran kerajaan PH yang didakwa tidak bertangungjawab apabila mengugurkan kes pendakwaan yang melibatkan tuduhan rasuah ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng.

“Saya dengar Bukit Bendera kata bukan main hebat (puji wakil rakyat) Pulau Pinang isytihar harta. Saya ingat YB lupa sesuatu, iaitu kes rasuah yang sedang berjalan melibatkan menteri kewangan,” katanya, merujuk kepada keputusan peguam negara menggugurkan pertuduhan rasuah terhadap Lim berhubung pembelian satu lot tanah dan banglo daripada ahli perniagaan, Phang Li Koon September tahun lepas.

Terdahulu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong membentangkan usul bagi mewajibkan Ahli Parlimen serta isteri dan anak mereka mengisytiharkan aset masing-masing menjelang Oktober depan.

Beliau berkata, langkah itu sejajar prinsip akauntabiliti dan ketelusan serta kerajaan komited menghapuskan rasuah dalam negara ini.

“Mereka yang memalsukan aset mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Kanun Keseksaan,” katanya ketika membentangkan usul itu di bawah Peraturan Mesyuarat 27 (3) Dewan Rakyat.

Liew berkata, semua ahli Parlimen dan keluarga mereka perlu mengisytiharkan harta dalam masa 3 bulan dari tarikh usul itu diluluskan dan ia akan disiarkan di laman web SPRM.

Katanya, ahli Parlimen yang membuat pengisytiharan palsu akan didakwa di bawah Seksyen 199 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 3 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.