Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

Menurut peniaga, komitmen daripada Trump dan Xi Jinping pada Sidang Kemuncak G20 di Osaka memberi harapan ke arah pemulihan pertumbuhan global.

KUALA LUMPUR: Ringgit susut semula daripada kenaikan baru-baru ini untuk ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin susulan mata wang negara maju itu mengukuh selepas Presiden Donald Trump membuat penangguhan pengenaan tarif selanjutnya dalam perang perdagangannya dengan China.

Pada 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.1350/1400 berbanding dolar AS daripada 4.1300/1350 yang dicatatkan pada Jumaat minggu lepas.

Sentimen terhadap dolar AS kembali positif setelah Trump dan Presiden China Xi Jinping, di Sidang Kemuncak G20 di Osaka, Jepun, bersetuju menangguhkan pengenaan tarif selanjutnya ke atas produk antara satu sama lain.

Trump bersetuju melonggarkan sekatan pembelian teknologi AS oleh firma teknologi China, Huawei dan menangguhkan tarif seterusnya ke atas hampir semua barangan China.

Sementara itu, Xi pula komited untuk membeli sejumlah barangan ladang AS dan kembali semula ke meja rundingan mengenai perdagangan.

“Ini merupakan laporan yang benar-benar baik untuk peserta pasaran, memandangkan komitmen daripada kedua-dua pemimpin itu telah memberi harapan ke arah pemulihan pertumbuhan global,” kata peniaga.

Semasa penutup, ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0517/0558 daripada 3.0520/0568 pada Jumaat lepas dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.8181/8234 daripada 3.8354/8412.

Ringgit tinggi berbanding pound kepada 5.2279/2359 daripada 5.2352/2419 selain stabil berbanding euro kepada 4.6816/6890 daripada 4.7012/7085.