Tak perlu RCI siasat dakwaan salah laku dalam TH, kata menteri

Mujahid Yusof Rawa berkata, RCI diperlukan apabila sesuatu kes atau isu tidak dapat diselamatkan, tetapi TH kini kembali stabil.

KUALA LUMPUR: Tiada keperluan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat salah laku dalam pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sepatutnya menyiasat dakwaan itu, kata Mujahid Yusof Rawa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, RCI diperlukan apabila sesuatu kes atau isu tidak dapat diselamatkan, tetapi TH kini kembali stabil.

“Jadi, kenapa (perlu) RCI? Tanyalah SPRM untuk siasat mereka yang telah kita kata menimbulkan pelbagai penyelewengan.

“Adakah mereka nak tarik perhatian supaya orang tak tumpu siasatan SPRM sedangkan bekas pengerusi sudah dipanggil (SPRM),” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Pada 24 Jun lalu, Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan menggesa kerajaan menubuhkan RCI untuk menyiasat dakwaan salah laku dalam pengurusan TH.

Mujahid berkata, beberapa laporan sudah dibuat kepada polis dan SPRM, tetapi beliau tiada perkembangan terkini berhubung laporan itu.