4 ditahan selepas kejar-mengejar dengan polis sejauh 20km

Polis menahan 4 individu yang cuba menyamun di kawasan perumahan di Taman Autumn Park, Eco Hill, Semenyih, awal pagi semalam.

KAJANG: Polis menahan 2 lelaki tempatan selepas bertembung dengan anggota polis unit peronda polis (MPV), ketika cuba menyamun di kawasan perumahan di Taman Autumn Park, Eco Hill, Semenyih,, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata pada mulanya, kedua-dua suspek yang menaiki kereta Proton Wira bersama 2 wanita warga Indonesia, melarikan diri sejauh 20km selepas terserempak dengan MPV yang sedang membuat rondaan di kawasan tersebut.

Beliau berkata suspek bertindak memecut kenderaan dinaiki mereka, walaupun selepas diarah untuk berhenti, oleh anggota MPV.

“Apabila tiba di kawasan taman berkenaan, mereka bertindak merempuh kenderaan MPV sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan, mengakibatkan pemandu serta penumpang di hadapan kereta itu mengalami kecederaan patah tangan dan kaki.

“Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan dinaiki suspek, polis menemui sepucuk pistol angin, serta sebilah pedang samurai,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Ahmad Dzaffir berkata hasil ujian saringan awal air kencing mendapati, semua individu tersebut positif metamphetamine dan mereka disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, kerana cubaan membunuh.

Beliau berkata semua suspek akan direman esok di Mahkamah Sesyen Kajang.

Dalam perkembangan lain, polis menahan 2 lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam sekurang-kurangnya 10 kes samun, dengan menyamar sebagai anggota polis sekitar Semenyih dan Beranang, semalam.

Ahmad Dzaffir berkata suspek berusia awal 20-an itu ditahan orang ramai, selepas menyamun seorang warga asing di Bandar Kesuma Beranang pada kira-kira 9.30 malam semalam.

“Hasil semakan mendapati kedua-dua suspek masing-masing mempunyai 8 dan 9 rekod jenayah lampau termasuk kes dadah,” katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395 kerana melakukan samun dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.