Kerajaan benar plat kenderaan istimewa jika ikut undang-undang

Sejak Ahad lalu, persoalan mengenai nombor plat “TMJ” mengundang reaksi marah banyak pihak yang mendakwa ia itu seolah-olah merujuk kepada Tunku Mahkota Johor. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Pendaftaran nombor plat kenderaan istimewa dibenarkan jika mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, selain nombor yang mengikut kawasan pendaftaran, nombor istimewa turut diperkenalkan selaras dengan Kaedah 5A, Kaedah-kaedah Kenderaan Bermotor (Pendaftaran dan Pelesenan) 1959.

“Pemberian nombor pendaftaran istimewa ini adalah berdasarkan kepada peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh menteri,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) semalam yang mempersoalkan sama ada nombor plat “TMJ” dan “RZ” sudah berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan.

Pelbagai pihak mengkritik Pang yang mendakwa “TMJ” itu seolah-olah merujuk Tunku Mahkota Johor.

Namun berdasarkan jawapan bertulis itu, Kementerian Pengangkutan dilihat tidak menjawab secara spesifik nombor plat “TMJ” dan “RZ” seperti ditanya ahli Parlimen daripada parti kerajaan tersebut.

Jawapan yang turut diberikan ialah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333) memperuntukkan kuasa untuk mewujud, menetapkan, menguntuk dan mengenakan bayaran ke atas nombor pendaftaran sesuatu kenderaan kepada menteri atau pengarah bagi Pengangkutan Jalan yang dilantik di bawah Seksyen 3 akta tersebut.

“Seksyen 11 APJ 1987 menetapkan semua kenderaan yang didaftarkan perlu diuntukkan satu tanda indeks yang disebut sebagai nombor pendaftaran, bagi menunjukkan kawasan kenderaan didaftarkan.

“Pengarah pula boleh menetapkan kadar bayaran bagi nombor pendaftaran yang diuntukkan kepada kenderaan tersebut,” menurut jawapan itu lagi.