Kerajaan mahu panggil pihak ke-3 cabar saman lucut hak

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 3 hari untuk mendengar permohonan kerajaan menyiarkan notis dan memanggil pihak berminat untuk mencabar saman pelucuthakan terhadap 9 individu serta entiti yang didakwa menerima wang dikatakan daripada 1MDB.

Timbalan pendakwa raya, Nik Haslinie Hashim berkata pendaftar Mahkamah Tinggi menetapkan 12, 19 dan 26 Julai ini ketika sebutan 9 saman pelucuthakan hari ini.

“Hanya 6 daripada mereka hadir di mahkamah hari ini,” katanya merujuk Naza Quest Auto Sdn Bhd, Yayasan Rahah, Ibrahim Awang Ismail, Umno Pekan, Habib Jewels Sdn Bhd dan Barisan Nasional Johor Bahru.

Sementara Ahli Parlimen Maran, Ismail Abd Muttalib, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Umno Kedah tidak hadir.

Timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi, Mahyudin Md Som menetapkan 12 Julai ini untuk mendengar permohonan menyiarkan notis pihak ke-3 bagi Ismail, SUPP dan Umno Kedah.

Mahkamah juga akan mendengar permohonan kerajaan untuk menyiarkan notis pihak ke-3 bagi saman terhadap Yayasan Rahah, Umno Pekan, Habib Jewels dan Ibrahim Awang Ismail pada hari sama.

Sembilan saman pelucuthakan itu akan didengar di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Saman terhadap BN Johor Bahru ditetapkan pada 19 Julai, manakala Naza Quest pada 26 Julai ini.

Pada 21 Jun lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengumumkan ia memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap 41 individu dan entiti untuk mendapatkan semula kira-kira RM270 juta dana 1MDB yang didakwa dipindahkan ke akaun Najib Razak.