Wakil rakyat dakwa ada NGO ambil kesempatan terhadap kaum Penan

Sesetengah NGO mengambil kesempatan terhadap masalah masyarakat Penan di Sarawak.

KUCHING: Masyarakat Penan di Sarawak mudah dipergunakan sesetengah NGO tempatan dan asing yang mempunyai kepentingan peribadi, kata seorang wakil rakyat Sarawak.

Adun Telang, Usan Dennis Ngau berkata NGO terbabit menggunakan masalah masyarakat Penan sebagai platform untuk mengumpul dana dengan memperoleh simpati rakyat. Bagaimanapun beliau mempersoalkan jika wang tersebut disalurkan kepada masyarakat itu.

“Saya tidak jumpa 1 klinik, mahu pun sekolah rendah, jalan raya, kemudahan solar, menara telekomunikasi yang dibina mereka. Malah, kemudahan ini dibina dan disediakan oleh kerajaan negeri,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata masyarakat Penan dimanipulasi kerana kebanyakan mereka masih tertinggal berbanding suku kaum lain kerana mereka lambat mengadaptasi kehidupan moden.

“Kita sekarang berada di abad ke-21 tetapi cara orang ramai menggambarkan masyarakat Penan berdasarkan apa yang berlaku 100 ke 200 tahun lalu. Ini menunjukkan mereka tidak mengetahui tentang kehidupan sebenar masyarakat Penan,” katanya.

Beliau turut menolak dakwaan Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel yang menuduh kerajaan sebelum ini mengabaikan Orang Asli di Semenanjung dan penduduk peribumi di Sabah dan Sarawak. Bercakap di forum di Kuala Lumpur, beliau menggesa perubahan kepada dasar kerajaan mengenai pembangunan luar bandar.

Pengerusi Persatuan Jaringan Pemerkasaan Penan Baram, Elia Bit.

Ngau berkata: “Saya hidup dan dibesarkan bersama masyarakat Penan dan sekarang saya berkhidmat untuk mereka sebagai wakil rakyat. Orang Penan baik dan kami kerajaan negeri cuba menyediakan kemudahan asas kepada mereka.

“Menyedihkan melihat masyarakat Penan hidup dalam kemiskinan. Mereka tidak benar-benar menolak bantuan tetapi ada pihak tertentu yang mengambil kesempatan daripada Penan untuk kepentingan mereka sendiri.

“Saya tidak pasti berapa banyak wang yang mereka dapat tetapi jika mereka benar-benar ikhlas membantu masyarakat Penan maka mereka harus menyumbang sesuatu kepada masyarakat ini.”

Pengerusi Persatuan Jaringan Pemerkasaan Penan Baram, Elia Bit berkata ada NGO yang ikhlas membantu masyarakat Penan, tetapi beberapa NGO cuba “memasarkan” perjuangan hidup Penan untuk kepentingan mereka.

“Terdapat juga kes-kes yang melibatkan pihak yang mendakwa ada peruntukan untuk menyediakan pengangkutan kepada anak-anak Penan ke sekolah tetapi kemudian tiada apa yang dilakukan untuk menghantar anak-anak ini ke sekolah,” katanya.