Gantung sampai mati saya tak kisah, kata Tajuddin

Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman hari ini membidas tindakan penggantungannya daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat selama 4 hari.

Beliau berkata tindakan itu tidak adil dan mendakwa Timbalan Speaker Nga Kor Ming menghalangnya bertanyakan soalan tambahan di dalam dewan.

“Nak gantung, gantunglah sampai mati. Saya tak kisah. Nak gantung 1, 2, 4 dan 10 hari, saya bebas bila nak masuk,” katanya di lobi Parlimen.

Sebelum itu, Dewan Rakyat kecoh sehingga memaksa Tajuddin diperintah keluar dewan.

Kekecohan bermula apabila Tajuddin berang dengan sikap Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub yang tidak menjawab pertanyaan yang diajukannya dan meninggalkan dewan serta menyerahkan tugas itu kepada timbalan menteri.

Nga kemudian mengarahkan Tajuddin keluar dewan selepas wakil rakyat Umno itu enggan mengikuti arahan dan membuat kecoh.

Tajuddin berkata beliau menjadi mangsa dalam kekecohan itu dan bukannya Nga.

Beliau juga menyifatkan Nga sebagai anti Barisan Nasional (BN) dan pembangkang.

“Beri peluang saya nak tanya soalan tambahan, dia tak benarkan.

“Sudah tentu saya marah. Bila dia (Nga) duduk sebagai speaker dia sentiasa pro dan melindungi ahli Parlimen DAP. Nak jadi speker kena neutral,” katanya.

Ibarat cari tulang dalam telur

Sementara itu, Nga berkata beliau kesal dengan sikap Tajuddin dan berkata beliau mengambil tindakan mengikut Peraturan Mesyuarat.

“Beliau mencari isu sedemikian bagaikan mencari tulang dalam telur. Mana ada tulang dalam telur.

“Maka selaras perkara 44, peraturan mesyuarat saya terpaksa menjalankan tugas saya menjemput beliau keluar 4 hari,” katanya.

Manakala, Menteri Pertanian dan Industri Tani Salahuddin Ayub mempertahankan tindakannya memberi laluan kepada timbalannya untuk menjawab soalan Tajuddin.

Beliau berkata adalah satu proses biasa untuk seorang menteri memberi laluan kepada timbalannya menjawab soalan.

“Jadi kalau dalam keadaan biasa, seseorang menteri itu seharusna beri peluang kepada timbalan menteri untuk jawab soalan di Parlimen.

“Itu adalah satu kesepakatan yang saya rasa kita bekerjasama antara menteri dan timbalan menteri. Normal praktis dalam kementerian,” katanya.