Hadi ajar utamakan perdamaian, Mat Sabu perjelas ucapan ‘tak boleh lawan’

Mohamad Sabu.

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Mohamad Sabu menerangkan ucapan “tak boleh lawan mereka” di Sidang Kemuncak Keselamatan Asia Ke-18 di Singapura pada awal Jun, mengatakan dia cuma menegaskan dasar diplomasi yang diamalkan Malaysia sejak dulu.

Mohamad seterusnya menerangkan kepada maksud “fight” pada sidang Dewan Rakyat.

“Maksud ‘fight’ ini berperang. Apakah kita sedia untuk berperang, terutamanya dengan negara kuasa besar?” katanya hari ini.

“Ya, kita boleh bercakap, saya semasa pembangkang dulu pun memang lebih hebat bercakap daripada yang sana (pentadbiran lepas) tetapi kita kena lihat keupayaan.”

Beliau menjawab pertanyaan daripada Shahidan Kassim (BN-Arau) dan Hssan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) berkenaan kenyataan di program antarabangsa tersebut.

Beliau menambah mendahulukan pendamaian diajarkan kepadanya oleh bekas ketuanya, iaitu Presiden PAS, Abdul Hadi Awang ketika dia bersama PAS.

“Kalau kita kata nak berperang, kita tunjuk kekuatan, kalau kita tidak kuat akhirnya kita akan dipermainkan. Sebab itu kita dahulukan dialog, dahului diplomasi sebab nak elak perang,” katanya.

Mohamad dalam penerangannya berkata dia sama sekali tidak memperkecilkan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia, dan Kertas Putih Pertahanan yang akan dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat akan datang akan menyentuh keperluan ketenteraan negara.

“Kementerian sedang menyediakan kertas putih pertahanan tentang keperluan pembangunan ATM dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.

Sementara itu, Mohamad mendakwa ada negara tertentu menawarkan perlindungan jika Malaysia bersetuju untuk bertelagah dengan negara tertentu.

Tawaran itu bagaimanapun ditolak, katanya. Beliau tidak menamakan kedua-dua negara itu.

“Kita kekalkan konsep negara berkecuali. Kalau kita terima tawaran daripada pihak lain maka kita letakkan Laut China Selatan seperti di rantau Teluk yang sedang berada dalam kancah,” katanya.

“Kadang-kadang orang nampak kita mengalah. Bukan, sebenarnya kita mengamalkan dialog daripada menunjukkan kekuatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai keberadaan pihak berkuasa China di sempadan negara di Sabah.

Mohamad berkata kebederaan pihak berkuasa China itu tidak “mengganggu”.

“Mereka lalu dan tidak mengganggu. Sekarang ini gangguan itu tidak ada. Kita ada hubungan diplomasi baik dengan China. Sebarang gangguan kita akan selesai secara diplomasi,” katanya.