Isteri pastor Koh dakwa pihak berkuasa guna kes culik lama hentikan siasatan

Lee Hwa Beng (2 dari kanan) pada majlis pelancaran buku bertajuk ‘Where is Pastor Raymond Koh?’. Turut hadir pastor kanan Gereja Methodist Damansara Utama, Daniel Ho (dari kiri), Ketua Biskop Kuala Lumpur, Julian Leow, isteri Koh, Susanna Liew dan Rama Ramanathan daripada Kumpulan Tindakan Rakyat Mengenai Kehilangan Paksa (CAGED).

PETALING JAYA: Isteri pastor Raymond Koh mendakwa pihak berkuasa cuba menyembunyikan kebenaran di sebalik kehilangan suaminya, selepas menteri dalam negeri mengumumkan pasukan petugas khas yang baru ditubuhkan akan menggantung siasatan kes Koh sementara menunggu kes jenayah di mahkamah selesai.

Susanna Liew berkata, pihak berkuasa menggunakan kes lama membabitkan Lam Chang Nam, 31, yang didakwa menculik Koh tahun lalu untuk “menghalang kami daripada mencari kebenaran”.

“Bekas ketua polis negara, Khalid Abu Bakar dan Fadzil Ahmat, ketua pasukan petugas (ditubuhkan pada 2017 untuk mencari Koh) sudah membebaskan dia (Lam) daripada pembabitan dalam penculikan Raymond Koh pada 15 Mac 2017.”

Lam pada mulanya didakwa memeras ugut anak Koh, Jonathan dengan meminta wang RM30,000 untuk membebaskan bapanya, sebelum pertuduhan itu diubah.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, pasukan petugas khas itu mungkin memulakan siasatan ke atas Amri Che Mat, seorang lagi individu yang menjadi fokus inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) selama setahun.

“Saya dapati itu tidak wajar,” kata Liew pada pelancaran buku kehilangan suaminya bertajuk “Where is Pastor Raymond Koh?” di sini hari ini.

“Ini ialah salah laksana keadilan dan keluarga akan meneruskan perjuangan kami untuk mendapat kebenaran serta keadilan. Kami mahu melihat pengakhiran. Ia sudah terlalu lama.”

Katanya, pasukan petugas khas itu perlu menyiasat kes Koh dan Amri serentak.

Beliau mendakwa dalang di sebalik penculikan Koh dan Amri menggunakan “modus operandi” sama.

Koh dilaporkan diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Kelana Jaya pada 13 Februari 2017, sementara Amri yang merupakan pengasas persatuan kebajikan, Perlis Hope, hilang sejak 24 November 2016, selepas meninggalkan rumahnya di Kangar.

Pada 3 April lalu, inkuiri Suhakam ke atas kehilangan Koh dan Amri menyimpulkan 2 lelaki itu ialah mangsa kehilangan paksa membabitkan anggota polis Cawangan Khas.

Pada 26 Jun lalu, Putrajaya mengumumkan pelantikan bekas hakim Mahkamah Tinggi, Abd Rahim Uda untuk mengetuai pasukan petugas khas 6 anggota bagi menyiasat penemuan Suhakam.

Hari ini, Liew berkata, pengalaman keluarganya ibarat “menaiki roller-coaster”.

“Saya sangat sedih dan kecewa kerana beliau (Muhyiddin) kata kes Pastor Raymond Koh ditangguhkan sementara menunggu kes Lam Chang Nam.”

Buku “Where is Pastor Raymond Koh?” ditulis Stephen Ng dan bekas ahli politik MCA, Lee Hwa Beng.

Buku itu berharga RM35 dan RM25 daripada jualan buku itu akan disumbang kepada Raymond Koh Book Trust.