Kerajaan akan tutup rumah asuhan selepas kes rogol kanak-kanak 4 tahun

Wan Azizah Wan Ismail menasihatkan ibu bapa mengawasi anak ketika menggunakan gajet seperti telefon bimbit.

KUALA LUMPUR: Kerajaan dalam proses menutup sebuah rumah asuhan tidak berdaftar di Batu Gajah, Melaka selepas seorang kanak-kanak 4 tahun dirogol anak pengasuh berusia 12 tahun, kata Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau yang juga menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, berkata pengasuh itu menjaga 8 kanak-kanak dan Jabatan Kebajikan Masyarakat sedang mencari jalan terbaik demi kebajikan kanak-kanak itu.

“Kita mesti lihat menyeluruh,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, media melaporkan kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun itu direman 4 hari kerana dipercayai merogol anak asuhan ibunya di rumah mereka sebanyak 3 kali sejak awal Ramadan lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Ahmad Adnan Basri dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati mangsa dihantar ke rumah ibu suspek sejak Oktober 2017 dan kejadian itu terbongkar Khamis lalu selepas mangsa mengadu sakit pada bahagian kemaluannya.

Katanya, siasatan mendapati punca suspek melakukan perbuatan itu disebabkan terangsang melihat video di dalam telefon bimbit.

Difahamkan, ibu suspek yang berusia 42 tahun mengambil upah menjaga 8 kanak-kanak berusia 2 hingga 11 tahun dari 6.30 pagi hingga 9 malam.

Wan Azizah menasihatkan ibu bapa supaya mengawasi anak ketika menggunakan gajet seperti telefon bimbit.

“Janganlah sampai tidak dikawal dan siasatan polis masih dilakukan kerana melibatkan kanak-kanak bawah umur.

“Kita kena buat pemantauan lebih ketat lagi.”