Maya Karin nafi punca perceraian Nik Nazmi, kata laporan

Artis Maya Karin hari ini membuat penegasan beliau tidak ada kena mengena dengan Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad dan hanya berkawan semata-mata, lapor Utusan Malaysia.

Kenyataan itu sekaligus menolak dakwaan sesetengah pihak yang dirinya menjadi punca penceraian Nik Nazmi dengan isterinya, Dr. Imaan Abdul Rahim.

“Saya berkawan dengan ramai ahli politik. Pada usia saya sekarang, saya lebih selesa untuk berkenalan dan berbincang dengan golongan tersebut, dan ya, saya kenal dia (Nik Nazmi).

“Tetapi saya tidak tahu dari mana datangnya cerita ini dan kenapa saya dikaitkan.

“Saya berharap mereka (Nik Nazmi dan bekas isteri) dapat menghadapi dugaan itu dan teruskan menjalani kehidupan,” jawabnya memetik laporan Utusan Online hari ini.

Menurut laporan tersebut Maya hanya mengenali ahli politik itu, sama seperti beliau mengenali ahli politik lain.

Malah perkenalan itu juga hanyalah dikira sebagai kenalan biasa.

Maya atau nama sebenarnya Maya Karin Roelcke, 39, diminta mengulas mengenai dakwaan dia dikatakan menjadi orang ketiga sekaligus punca Nik Nazmi dan Dr. Imaan berpisah setelah 14 tahun berumah tangga.

Apa pun, pelakon filem itu mengakui tidak terkejut dengan dakwaan tersebut.

Ba­ginya, kontroversi itu satu perkara biasa kerana sudah acap­kali namanya dikaitkan de­ngan beberapa ahli politik sebelum ini.

“Dakwaan sebegini tidak membuatkan saya melenting atau rasa apa-apa. Saya sudah lali,” ujarnya sambil tertawa.

Terdahulu, Nik Nazmi, 37, dilaporkan bercerai talak satu dengan Dr. Imaan, 36, di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur semalam.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]