Malaysia haram eksport pasir laut, termasuk ke Singapura, kata Xavier

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, perlombongan pasir laut di Malaysia hanyalah untuk kegunaan tempatan.

KUALA LUMPUR: Malaysia memutuskan untuk tidak membenarkan pengeksportan pasir laut ke mana-mana negara bukan sahaja Singapura, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar.

Xavier berkata, perlombongan pasir di Malaysia hanya untuk kegunaan tempatan, bukan untuk eksport.

Bagaimanapun, beliau berkata, pasir sungai boleh dieksport ke negara lain, tetapi memerlukan kelulusan daripada Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

“Kabinet sebelum ini putuskan perdana menteri sendiri perlu luluskan. Ia tidak berubah, sama seperti kerajaan sebelum ini,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Sebelum ini, media tempatan memetik pegawai di Kuala Lumpur sebagai berkata, bahawa Malaysia, yang merupakan sumber terbesar pasir laut Singapura, mengharamkan eksport komoditi itu ke republik berkenaan.

Sumber itu berkata, ini termasuklah untuk tujuan pembangunan pelabuhan mega di Tuas, yang dijangka menjadi terminal kontena terbesar di dunia.

Singapura menambah kawasan tanahnya sebanyak 1/4 keluasan asal negera itu sejak kemerdekaannya pada 1965, kebanyakannya menggunakan pasir untuk menambak kawasan pantai.

Dalam pada itu, Xavier berkata, keputusan kerajaan itu tidak akan memberi kesan ke atas hubungan dengan mana-mana negara.

Beliau berkata, kerajaan sudah membuat keputusan dan akan mengekalkannya.

“Singapura boleh membeli daripada mana-mana negara yang menjual pasir jika ia mahu membuat tambakan.

“Kita tiada hak untuk halang mana-mana negara berbuat demikian,” katanya.