Matta: Kaji implikasi sebelum laksana levi pelepasan

Secara keseluruhan, 25.8 juta pelancong melawat Malaysia dan membelanjakan RM84.1 bilion tahun lepas.

PETALING JAYA: Sebuah persatuan pelancongan utama berkata, tanpa kajian mendalam, levi pelepasan yang dijangka dikenakan pada September depan akan memberi kesan ke atas ketibaan pelancong dan menjadikan Malaysia destinasi kurang kompetitif.

Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Tan Kok Liang berkata, kerajaan perlu mendapatkan maklum balas daripada pemegang taruh mengenai kesan dan cara bagaimana ia mahu mengutip cukai tersebut.

Beliau menyesali kegagalan kerajaan menghubungi pemegang taruh, termasuk persatuan diketuainya bagi mendapatkan pandangan mereka.

“Malah, mereka sepatutnya memanggil satu mesyuarat dan memberi taklimat kepada industri.

“Kami mengharapkan satu sistem yang lancar untuk kemudahan penumpang udara.

“Bagaimanakah bayaran mahu dibuat? Di lapangan terbang? Melalui syarikat penerbangan? Kita tidak tahu,” katanya kepada FMT.

Semalam, Timbalan Menteri Kewangan, Amiruddin Hamzah berkata, levi pelepasan ke atas penumpang udara berkemungkinan besar akan dilaksanakan selepas musim Haji pada September ini.

Levi yang dicadangkan dalam Belanjawan 2019 itu pada asalnya dijadualkan untuk dilaksanakan pada 1 Jun.

Tan memetik statistik yang disebut oleh pengerusi Tourism Malaysia, Ahmad Shah Hussain Tambakau sebelum ini bahawa Malaysia mencatatkan hasil pelancongan sebanyak RM21.4 bilion dalam suku pertama tahun ini, meningkat 16.9%.

“Secara keseluruhan, 25.8 juta pelancong melawat Malaysia dan membelanjakan RM84.1 bilion tahun lepas.

“Angka itu meletakkan Malaysia di tangga ke-15 dalam kalangan negara dengan jumlah ketibaan pelancong paling tinggi.

“Malaysia juga berada di tangga ke-21 dari segi hasil daripada pelancongan.

Tan berkata, dengan hasil pelancongan yang begitu besar, Malaysia harus memasarkan diri sebagai “destinasi mesra pelancong”, bukannya mengutip levi pelepasan yang tidak sampai RM1 bilion itu.

Beliau berkata, adalah lebih baik levi pelepasan dilaksanakan pada 2021, iaitu selepas “Tahun Melawat Malaysia 2020”.

Presiden Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (Mita) Uzaidi Udanis menyetujui sentimen itu dengan berkata, beliau juga tidak tahu kerana kerajaan gagal menghubungi persatuan diwakilinya.

“Saya masih menunggu,” katanya.

Bekas presiden Persatuan Hotel Malaysia, Sam Cheah Swee berkata, kerajaan harus menghapuskan cukai pelancongan sekiranya ia memperkenalkan levi pelepasan.

“Apakah kita akan pergi ke negara yang mengenakan cukai ke atas pelancong di semua tempat dan peluang yang diperolehinya?

Katanya, berdasarkan statistik, angka penginapan di hotel jatuh pada suku pertama tahun ini.

“Menteri pelancongan berkata, jumlah pelancong bertambah, tetapi angka menunjukkan penginapan di hotel menurun.”