Melayu, Cina dan India adalah bangsa Johor

Saya terpanggil untuk memberikan pandangan balas berhubung satu berita yang dilaporkan FMT yang bertajuk “Tiada bangsa Johor, hanya bangsa Malaysia, kata Hassan Karim”.

Kenyataan balas saya, Hassan barangkali alpa dan silap bahawa tidak ada istilah bangsa Malaysia. Yang betul-betul wujud sebenarnya hanyalah rakyat Malaysia.

Komposisi rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa iaitu Melayu, Cina, India, termasuk pelbagai suku, kaum serta keturunan di Sabah dan Sarawak yang diiktiraf hak dan kepentingan mereka dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dan inilah yang menyumbang kepada kedinamikan Malaysia sebagai negara berbilang bangsa serta terbukti menjadi sumber kekuatan Malaysia yang gagal ditandingi mana-mana negara dalam dunia.

Buat pengetahuan Hassan, bangsa Johor merupakan satu konsep dibentuk serta dianjurkan Istana Johor berteraskan nilai dan semangat muafakat yang terdapat dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895. Ia bertujuan untuk menyatupadukan rakyat berbilang bangsa di negeri Johor.

Orang Melayu adalah bangsa Johor, orang Cina juga bangsa Johor dan orang India juga sebahagian bangsa Johor. Masyarakat Sabah dan Sarawak yang kini bermastautin di Johor juga bangga menjadi sebahagian daripada bangsa Johor.

Ia adalah konsep yang membawa kepada kemuafakatan dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat di negeri Johor dan menyumbang kepada kemakmuran dan kesejahteraan negeri Johor buat sekian lama.

Saya hairan mengapa perkara ini sengaja dibangkitkan oleh seorang ahli Parlimen yang sepatutnya mewakili suara rakyat Johor, namun tidak faham asal-usul konsep bangsa Johor itu sendiri.

Namun, ketidakfahaman beliau mengenai perkara ini adalah jawapan kepada kelibat beliau yang amat jarang sekali kelihatan di Pasir Gudang, lebih-lebih lagi ketika rakyat memerlukan khidmat dan bantuan dari seorang wakil rakyat yang ternyata gagal menjalankan tugas beliau dengan baik.

Noor Azleen Ambros ialah ketua Pemuda Umno bahagian Pasir Gudang.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.