Operasi besar-besaran tutup kilang haram di Pasir Gudang, kata menteri

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, kerajaan juga akan mengambil 6 langkah segera bagi mengatasi masalah pencemaran di Pasir Gudang.

KUALA LUMPUR: Operasi besar-besaran untuk mengesan dan menutup semua kilang haram di Pasir Gudang, Johor akan dilaksanakan dalam tempoh sebulan, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin

Yeo berkata, pihaknya memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk penduduk setempat untuk melaporkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung operasi kilang haram terbabit.

Katanya, persekitaran Pasir Gudang sangat mencabar disebabkan pembangunan yang tidak lestari dan kerajaan akan terus mengambil langkah terbaik, termasuk menerima cadangan konstruktif daripada Ahli Parlimen setempat.

“Kita akan pastikan kilang haram ditutup demi kepentingan rakyat,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, sejak insiden berlaku pada 20 Jun 2019 dan 4 Julai 2019 sehingga hari ini, sebanyak 172 premis industri diperiksa, dan 98 kompaun dan 46 notis arahan dikeluarkan, sementara 9 premis ditahan operasi.

Enam langkah segera tangani pencemaran

Dalam perkembangan sama, kerajaan akan mengambil 6 langkah segera bagi menangani masalah pencemaran di Pasir Gudang.

Yeo berkata, antara langkah berkenaan, kementerian akan memperkasakan pemantauan kualiti udara di Pasir Gudang dengan mewujudkan Stesen Pengawasan Gas Pencemar Toksik Automatik Masa Sebenar melalui pembangunan stesen pengawasan udara.

“Yang kedua ialah pembelian alat pengukuran gas toksik bergerak seperti Gasmet untuk tujuan penguatkuasaan dan pemantauan serta membangunkan sistem bagi menganalisis dan menentukan ‘carrying capacity’ udara di kawasan perindustrian Pasir Gudang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Azalina Othman Said (BN- Pengerang) yang bertanya mengapa tragedi di Pasir Gudang berulang dan apakah pelan kontigensi kementerian dalam memastikan tahap keselamatan penduduk sekitar dalam keadaan selamat.

Tambahnya, memandangkan Pasir Gudang merupakan hab industri
terpenting di Johor, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Cawangan Pasir Gudang juga akan diwujudkan bagi meningkatkan pengawal seliaan dan penguatkuasaan di kawasan berkenaan.

“Kementerian melalui Jabatan Alam Sekitar akan mewajibkan beberapa tindakan pematuhan baru kepada premis industri di kawasan Pasir Gudang.

“Antaranya akan menetapkan agar mereka memperkasakan kualiti udara dengan mewujudkan stesen pengawasan gas pencemar automatik dengan premis industri perlu memasang alat pemantauan pelepasan secara berterusan (Continous Emission Monitoring System – CEMS),” katanya.

Beliau berkata, kementerian juga akan mengadakan program sekolah angkat oleh industri, terutamanya sekolah berisiko tinggi yang dekat dengan kilang. Kemudahan seperti alat pengesan gas dan penapis air akan dibekalkan oleh pihak industri kepada sekolah angkat,” katanya.

Mengulas situasi semasa yang berlaku di kawasan terbabit, Yeo berkata, siasatan sehingga kini tidak dapat mengenal pasti punca khusus yang menyebabkan masalah gangguan kesihatan di situ.

Dalam kejadian terbaru, 30 pelajar dan 3 guru di Pasir Gudang dirujuk ke klinik kerana mengalami gejala sejak nafas dan muntah sebaik sahaja sesi persekolahan disambung semula pada 30 Jun setelah ditutup sebelum itu.

Pada Jumaat, Yeo dilaporkan berkata, 3 jenis gas, iaitu methyl mercaptan, akrilonitil dan akrolein dikesan di kawasan terbabit.