Polis beri amaran kumpulan mahu tangkap orang ‘khalwat’

Timbalan Ketua Polis Negara, Mazlan Mansor.

PETALING JAYA: Polis menasihati sebuah kumpulan pencegahan maksiat tempatan yang dikenali sebagai Skuad Badar supaya tidak bertindak dalam apa jua cara yang bertentangan dengan undang-undang selepas kumpulan itu didakwa akan membuat kemunculan semula.

Timbalan Ketua Polis Negara Mazlan Mansor berkata Skuad Badar bukan badan penguatkuasa agama yang sah dan tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan tindakan penguatkuasaan.

“Perlu ditegaskan mana-mana kumpulan yang tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) dikira pertubuhan haram dan akan diambil tindakan yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Presiden Skuad Badar Azhar Mohamad dilaporkan nekad mengaktifkan semula aktiviti mereka dengan nama “Skuad Badar al-Qubra” dalam usaha membanteras gejala maksiat dalam kalangan masyarakat Islam yang disifatkan semakin membimbangkan di negara ini.

“Kemunculan ini dibuat kerana kita mahu jaga anak bangsa beragama Islam agar terhindar daripada perkara mungkar.

“Sebab kita boleh nampak keadaan sekarang cukup membimbangkan. Kalau di Sungai Petani (Kedah) budak-budak beromen depan-depan kita, atas motosikal. Kita tak boleh biarkan,” kata Azhar memetik laporan Malaysiakini.

Skuad Badar yang disertai lebih 200 ahli sebelum ini mengundang publisiti apabila menyerbu sebuah kafe siber di Sungai Petani pada November 2017.

Mereka kemudian mengumpulkan umat Islam di situ, kebanyakannya kanak-kanak dan remaja, sebelum menyampaikan “tazkirah” dan membawa mereka ke masjid berdekatan.

Kumpulan itu turut menyerbu rumah urut, mesin judi, motel dan hotel yang dipercayai terlibat dalam pelacuran dan perkhidmatan berbaur seks.

Azhar bagaimanapun ditahan pihak berkuasa pada Januari lalu menyebabkan aktiviti kumpulan itu terhenti.