Riza Aziz dibebas dengan jaminan SPRM

Riza Aziz akan didakwa di mahkamah esok. (Gambar AFP)

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia membebaskan penerbit filem Hollywood, Riza Aziz yang dijangka berdepan 5 pertuduhan pengubahan wang, petang tadi.

Peguamnya, Azrul Zulkifli Stork berkata anak Rosmah Mansor itu dibebaskan dengan jaminan SPRM dan akan hadir ke mahkamah esok.

“Beliau tidak ditahan. Kami akan bawa beliau ke mahkamah esok,” katanya kepada FMT melalui mesej teks.

Riza ditahan di ibu pejabat SPRM tengah hari tadi apabila beliau hadir untuk memberi keterangan.

Sumber berkata, Riza akan didakwa sebagai pemilik Red Granite Pictures dengan pertuduhan menerima wang haram dari Good Star Ltd, sebuah syarikat dikaitkan dengan ahli perniagaan, Low Taek Jho.

Beliau dikatakan akan didakwa di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Sabit kesalahan melakukan atau membantu aktiviti pengubahan wang akan berdepan penjara sehingga 15 tahun, denda maksimum RM5 juta atau 5 kali ganda nilai suapan, mengikut mana lebih tinggi.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) mendakwa Red Granite yang menerbitkan filem “Wolf of Wall Street” dicalonkan untuk Anugerah Oscar, menerima wang diseleweng dari 1MDB.

DoJ memfailkan saman pelucuthakan sivil terhadap Red Granite pada Julai 2016 dalam usaha untuk mendapatkan semula lebih AS$1 bilion yang didakwa dicuri dari 1MDB.

Pada Mac 2018, Red Granite bersetuju membayar AS$60 juta (RM234 juta) kepada kerajaan AS untuk menyelesaikan dakwaan ia mendapat manfaat daripada dana 1MDB. Bayaran itu diselesaikan dalam 6 bulan.