Umno dalam penstrukturan semula, Annuar jawab isu jual saham Media Prima

Sebelum ini dilaporkan Umno menjual 11.09% pegangannya dalam Media Prima Bhd kepada Syed Mokhtar Al-Bukhary. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Umno Annuar Musa mengakui parti itu dalam proses penstrukturan semula portfolio pelaburan demi masa depan mereka.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai laporan mengatakan parti itu menjual 11.09% kepentingan dalam syarikat Media Prima Bhd kepada Syed Mokhtar Al-Bukhary.

“Kami dalam proses penstrukturan semula, kami melihat semula portfolio pelaburan kami, sebagai parti politik kami perlu merancang untuk masa depan.

“Banyak yang dilakukan dengan pelaburan kami, tapi saya tidak boleh berikan komen, ianya sulit. Terpulang kepada mereka yang diberikan tugasan untuk tindakan susulan,” katanya di lobi Parlimen.

Umno mempunyai 123.02 juta unit saham melalui Gabungan Kesturi Sdn.

DRB-Hicom Bhd semalam menafikan membeli 11% kepentingan dalam syarikat media tersenarai, Media Prima.

Syarikat itu turut menafikan mengambil alih sebanyak 8% saham yang dimiliki oleh Umno.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga ahli Parlimen Ketereh berkata urusan perniagaan Umno tidak boleh didedahkan kepada umum kerana ia melibatkan pemegang saham yang lain.

“Portfolio pelaburan kami adalah perkara dalaman kami dan melibatkan pemegang saham lain, kami terikat dengan peraturan dan tidak boleh buat kenyataan umum tanpa keperluan,” katanya.