52 kumpulan rayu PM batal projek 3 pulau di P Pinang

Sekumpulan nelayan mengadakan bantahan di Kampung Nelayan, dekat Teluk Kumbar, di mana satu daripada 3 pulau itu akan dibina.

GEORGE TOWN: Gabungan 52 kumpulan berkepentingan Melayu menghantar satu memorandum kepada perdana menteri untuk menggesa pembatalan projek tambak laut bagi 3 pulau di selatan Pulau Pinang.

Kumpulan di bawah naungan Persatuan Melayu Pulau Pinang itu menulis nota bantahan kepada Dr Mahathir Mohamad pada 30 Jun lalu dengan 20 alasan projek itu perlu dibatalkan.

Dalam memorandum 7 halaman itu, 52 kumpulan terbabit berkata, kerajaan perlu bimbang dengan pelepasan 3.2 juta tan karbon daripada projek tambak laut itu saja.

Mereka turut mendakwa penyokong projek itu tidak telus mengenai perancangan mereka kerana tidak membenarkan 20 jilid data projek itu dibawa keluar untuk perbincangan.

“Pulau Pinang dirahmati bukit-bukau, laut dan kota George Town yang disenaraikan sebagai tapak warisan Unesco, tetapi kita kini di persimpangan.

“Apakah wawasan yang kita mahu untuk Pulau Pinang? Jalan didominasi kereta, hutan konkrit berselerak sehingga melahap bukit dan laut kita?

Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang, Mohd Yussof Latiff.

“Atau Pulau Pinang yang pintar, hijau, kurang kereta, terhubung dan layak dihuni semua warganya?” soal Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang, Mohd Yussof Latiff.

“Kami berharap Tun memberi pertimbangan serius dan saksama terhadap kandungan memorandum kami.”

Terdahulu, kerajaan negeri mengumumkan Jabatan Alam Sekitar meluluskan PSR bersama 72 syarat.

Projek Tebus Guna Tanah Selatan Pulau Pinang (PSR) berkeluasan hampir 17km persegi dengan 3 pulau masing-masing seluas 9.3, 4.45 dan 3.23km persegi akan ditebus guna di perairan Permatang Damar Laut, berdekatan Bayan Lepas.

Tanah ditebus guna itu akan menjadi milik kerajaan negeri, tetapi ia akan dilelongkan kepada pembina tertinggi untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang bernilai RM46 bilion.

PTMP dijangka meliputi beberapa lebuh raya, sistem Transit Aliran Ringan (LRT) dan pengangkutan lain yang akan dibina dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.