Dr M pelawa semua parti Melayu sertai PPBM

JOHOR BAHRU: Dr Mahathir Mohamad hari ini mempelawa semua parti politik Melayu termasuk Umno untuk menyertai PPBM dalam usaha menyatupadukan serta memperkasakan kuasa politik orang Melayu.

Pengerusi PPBM itu berkata kewujudan semakin banyak parti politik Melayu menyebabkan potensi untuk mereka menang dalam pilihan raya semakin tipis.

“Kalau dulu, cuma ada satu sahaja parti yang mewakili orang Melayu iaitu Umno tetapi kerana tamak untuk mendapatkan tempat, maka hari ini orang Melayu berpecah kepada 6 (parti).

“Enam, bukan lagi majoriti 60% tetapi setiap parti 10% sahaja,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PPBM Johor di Dewan Serbaguna Johor Jaya.

Mahathir juga turut mengingatkan barisan kepimpinan parti supaya menjadikan episod kekalahan Umno di Johor yang digelar sebagai kubu kuat parti berkenaan sebagai satu pengajaran.

“Yang jelas ialah walau kuat bagaimana sekalipun parti itu kalau ia sudah menyeleweng, ia akan jadi lemah. Inilah pengajaran yang kita dapat dari peristiwa dari Johor ini pada pilihan raya umum ke-14,” katanya.

Ketika ditanya pemberita selepas ucapan itu sama ada pelawaan beliau akan mendapat tentangan daripada parti komponen Pakatan Harapan (PH), Dr Mahathir berkata: ”Itu masalah dia. Kita tiada kaitan dengan parti-parti lain. Walaupun dalam PH, mereka pun dapat ahli baru juga.”

Selain itu, beliau turut mengingatkan supaya semua ahli parti setia kepada parti dan perjuangannya dan tidak taksub kepada pemimpin tertentu.

Ketibaan Mahathir pada majlis itu 5.05 petang tadi disambut oleh Timbalan Presiden Mukhriz Mahathir dan Pengerusi PPBM Johor, Mazlan Bujang.