Gambar wanita Islam Indonesia salam Pope Francis tular di internet

Gambar Dewi Praswida bersalaman dengan Pope Francis tersebar di pelbagai media sosial dan saluran berita. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Gambar seorang wanita Islam dari Indonesia bersalaman dengan Pope Francis tersebar di internet, lapor The Jakarta Post.

Wanita terbabit, Dewi Praswida, 23, yang juga seorang pelajar melawat Vatican City untuk mengambil bahagian dalam dialog antara agama.

Dewi berpeluang bersalaman dengan Pope di St Peter’s Square pada 26 Jun lalu. Pada waktu itu, Dewi memperkenalkan diri sebagai penganut Islam dari Indonesia.

“Tudungku dan jubahmu bukanlah halangan untuk tidak bersaudara.

“Sebenarnya, apa ‘skincare’ yang digunakan Pope Francis ya? Tangannya lembut sangat,” tulisnya di Facebook dengan mengepilkan sekeping gambar dia bersalaman dengan Pope.

Menerusi temubual dengan media, Dewi berkata hanya dia yang berpeluang bersalaman dengan Pope pada waktu itu.

“Saya satu-satunya individu yang bersalaman dengan Pope ketika itu. Saya memperkenalkan diri saya kepadanya, dan memintanya untuk berdoa untuk saya juga untuk perdamaian dunia,” katanya.

Kiriman Facebooknya mendapat perhatian pemerhati politik Indonesia, Fadjroel Rachman yang berkongsi gambar itu di Instagramnya, Ahad lalu.

Gambar tersebut kemudiannya disukai lebih 11 ribu orang dan dikongsi pelbagai akaun media sosial dan saluran berita.

“Pertemuan sederhana yang luar biasa. Kerana tidak seperti foto penganut Katolik dan pemimpinnya. Foto ini kelihatan istimewa. Foto seorang muslimah dari negara yang majoriti penduduknya Islam dan pemimpin penganut Katolik dunia,” tulis Fadjroel.