Kenapa takut isytihar aset anda, Anwar tanya PAS

PETALING JAYA: Anwar Ibrahim mengkritik PAS membantah langkah mewajibkan semua ahli Parlimen mengisytiharkan aset mereka, selepas presiden parti Islam itu berkata pengisytiharan harta ialah konsep komunis dipromosikan DAP.

Presiden PKR itu berkata, pemimpin PAS tidak patut bimbang dengan langkah itu jika mereka tiada apa-apa untuk disembunyikan.

Beliau pelik dengan sikap pemimpin PAS yang memperjuangkan ketelusan “kini kelihatan takut”.

“Mereka memberi alasan ia sebahagian komunisme,” katanya dalam satu acara di Negeri Sembilan hari ini.

Terdahulu, Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, pengisytiharan aset ialah konsep komunis dan sosialis.

“Sosialis ini dia kononnya hendak mengehadkan kekayaan, ternyata negara-negara sosialis yang bertukar liberal, pemimpin sosialis itu paling kaya sekali,” katanya di Marang, hari ini.

Anwar mengingatkan Hadi yang pengisytiharan aset ialah satu kewajipan bagi ahli politik di Indonesia.

Katanya, dengan mengisytiharkan kekayaan, ahli politik yang menyalahgunakan kedudukan mereka dapat dikesan, termasuk jika ada pemimpin PAS yang mengumpul tanah dan projek di Perak, Kelantan serta Terengganu.

“Kami akan tahu jika ada penyalahgunaan. Itu objektifnya.”

Pada 1 Julai lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul mewajibkan semua ahli Parlimen bersama pasangan dan anak mereka mengisytiharkan aset masing-masing.

Ahli Parlimen PAS dan Umno membantah usul itu dengan berkata, kerajaan sepatutnya meminda undang-undang rasuah untuk menjadikannya wajib bagi ahli politik mengisytiharkan kekayaan mereka.