Pakar fizik UiTM akan dipanggil untuk sahkan sama ada Adib dilanggar EMRS

Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin (kanan) meninggalkan Mhkamah Koroner Shah Alam hari ini.

SHAH ALAM: Mahkamah Koroner hari ini menetapkan akan memanggil pakar fizik dari Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) untuk memberi keterangan berhubung punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Koroner Rofiah Mohamad berkata, pensyarah kanan Amir Rafzi Ab Ghani yang merupakan tenaga pengajar di Fakulti Kejututeraan Mekanikal akan dipanggil memberi keterangan selama 2 hari, pada 16 dan 17 Julai ini.

“Pastikan saksi ini dimaklumkan supaya bersedia membantu mahkamah dari segi persoalan yang diperlukan pada 16 dan 17,” katanya di Mahkamah Shah Alam, hari ini.

Rofiah terdahulu memaklumkan pihaknya menerima 2 nama yang dicadangkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Amir merupakan saksi tambahan yang dipanggil memberi keterangan untuk inkues tersebut, selepas wujud pertikaian antara 2 saksi sebelum ini, iaitu Dr Ahmad Hafizam Hasmi dan Dr Shahrom Abd Wahid.

Rofiah turut memaklumkan, beliau tidak akan membuat sebarang keputusan berhubung keperluan untuk memanggil ahli patologi baru, sehingga Amir yang merupakan saksi ke-30 selesai memberi keterangannya.

Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin sewaktu ditemui pemberita berkata, teori dikemukakan Shahrom sebelum ini ditolak oleh pakar forensik dari Hospital Kuala Lumpur Dr Ahmad Hafizam.

Dr Ahmad Hafizam berkata, beliau mendapati bacaan dibuat Dr Shahrom adalah tidak tepat kerana hanya melakukan kiraan berdasarkan kelajuan kenderaan EMRS sewaktu mengundur sahaja.

“Namun ketika ini, kedua-duanya mengakui bahawa mereka bukanlah pakar dalam bidang fizik. Jadi itulah sebabnya Koroner menetapkan keperluan memanggil pakar fizik bagi mengenal pasti punca kecederaan Adib,” katanya.

Inkues tersebut diarahkan oleh Putrajaya bagi mengenal pasti punca kematian Adib yang meninggal 17 Disember 2018 selepas 21 hari dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).

Sehingga kini, seramai 29 saksi yang terdiri daripada orang awam dan pakar, termasuk doktor yang merawat Adib sudah dipanggil untuk memberi keterangan.