Rombak SPRM Sarawak, Rewcastle-Brown beritahu Latheefa

Clare Rewcastle-Brown berkata, Sarawak Report menyiarkan pendedahan South Sea Energy Sdn Bhd mendakwa sesetengah ahli politik veteran menyertai perkongsian bersama untuk membangunkan Petros pada tahun lalu.

PETALING JAYA: Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown membidas pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Sarawak menutup kes rasuah lama lebih cepat daripada jangkaan dengan alasan tiada bukti baru untuk membuka semula kes berprofil tinggi.

“Wow! Dia tutup (kes) dengan cukup pantas.

“Adakah dia ada masa membuka fail sebelum menutupnya semula?” katanya kepada FMT merujuk kenyataan Pengarah SPRM Sarawak, Razim Mohd Noor yang dilaporkan berkata, tiada guna menyiasat semula dakwaan itu tanpa bukti baru.

Rewcastle-Brown berkata, sudah sampai masa untuk merombak “pasukan SPRM di Sarawak yang selesa” dengan menghantar orang luar mengkaji semula “perbincangan pantas dan membingungkan” selama ini.

Katanya, pegawai Sarawak mungkin mahu mengumumkan itu kerana pengumuman terdahulu menyatakan tiada amalan rasuah di Sarawak dan mereka mahu kesimpulan itu kekal tanpa sebarang penelitian lanjut.

Beliau berkata, Sarawak Report pada tahun lalu menyiarkan pendedahan South Sea Energy Sdn Bhd mendakwa sesetengah ahli politik veteran menyertai perkongsian bersama untuk membangunkan syarikat minyak milik kerajaan Sarawak, Petros.

“Beberapa hari lalu, kami menyiarkan bukti nyata amalan rasuah memalukan berhubung aktiviti pembalakan di Empangan Murum.

“Kini masanya ketua pesuruhjaya baru SPRM menangani masalah setempat ini dalam jabatannya,” katanya merujuk Latheefa Koya yang dilantik menerajui agensi anti-rasuah itu mulai 1 Jun lalu.

Katanya, Latheefa perlu “ingat” khabar angin pegawai SPRM baru dihantar untuk menjalankan siasatan di Sarawak, mereka tiba di lapangan terbang dengan “tawaran yang tidak boleh ditolak”.

“Malah, anda tidak perlu SPRM beritahu orang Sarawak yang kerajaan mereka korup kerana bukti adalah jelas. Anda (Latheefa) hanya perlu seseorang untuk bertindak mengenainya.”

Hari ini, Razim dilaporkan berkata, sesetengah kes sudah lama disiasat SPRM.

“Tetapi, kita sudah menyerahkan laporan kepada Putrajaya dan terpulang kepada mereka untuk menentukannya.”