Kanak-kanak 2 tahun maut selepas tercekik roti

Ketua Polis Gombak, Samsor Maarof (Gambar Twitter)

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 2 tahun meninggal dunia selepas 4 hari menerima rawatan di Hospital Selayang, di sini, kerana tidak sedarkan diri selepas dilapor tercekik kepingan roti di rumah pengasuh di sebuah pangsapuri di Selayang, Isnin lepas.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Gombak, Samsor Maarof ketika dihubungi dan berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang pegawai perubatan di hospital berkenaan.

Beliau berkata pegawai perubatan itu memaklumkan menerima kanak-kanak itu dalam keadaan tidak sedarkan diri kerana didakwa tercekik roti di rumah pengasuhnya pada kira-kira 10 pagi.

“Waktu kanak-kanak itu berada di wad kecemasan Hospital Selayang, pegawai perubatan menemui cebisan roti semasa proses resusitasi berjalan.

“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan pada kira-kira 10.39 pagi pada Khamis lepas,” katanya.

Samsor berkata hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah “Hypoxic Ischaemic Encephalopathy (HIE)” dengan kegagalan beberapa organ.

Beliau berkata HIE berlaku apabila mangsa tidak memperoleh oksigen dan aliran darah secukupnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak terhadap pengasuh terbabit.