PAS tiada pendirian tetap mengenai isytihar harta, kata Mujahid

KUALA LUMPUR: Amanah mengkritik bantahan PAS terhadap langkah mewajibkan semua ahli Parlimen mengisytiharkan harta, selepas presiden parti Islam itu dilapor berkata pengisytiharaan harta konsep komunis yang dipromosikan DAP.

Naib Presiden Mujahid Yusof Rawa berkata PAS nampaknya tiada pendirian tetap berhubung pengisytiharaan harta kerana mereka pernah menyokong langkah tersebut sebelum ini.

Menurut beliau, Presiden PAS, Hadi Abdul Awang juga pernah mengisytiharkan harta pada 2008 sebaik menjadi ahli Parlimen.

“Masa jadi pembangkang, setiap tahun saya isytihar aset. Adakah saya komunis? Tak. Itu tanggungjawab saya. Jadi berhati-hati buat kenyataan,” katanya kepada pemberita di satu program hari raya di Dataran Merdeka hari ini.

Beliau yang pernah bersama PAS berkata parti itu sebelum ini menyokong wakil rakyat mengisytiharkan harta mereka.

“Tetapi kemudian timbalan dia kata ini bercanggah dengan Islam. Hari ini kita dengar pula, agenda komunis dan sosialis dan pengaruh DAP,” katanya.

Pemenang Gerai Terbaik dalam program Street Raya Masjid dan surau jumaat wilayah Persekutuan 2019 Menerima Sijil Penghargaan daripada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr.Mujahid Yusof Rawa.

“Yang terang dan jelas, jangan guna Islam kalau tak nak buat. Itu seolah-olah kita menunggang agama.”

Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dilapor berkata pengisytiharaan harta akan menjejaskan keselamatan harta dan individu yang berbuat demikian, disamping akan menimbulkan rasa dengki.

Dewan Rakyat pada 1 Julai lalu meluluskan usul mewajibkan semua ahli Parlimen bersama pasangan dan anak mereka mengisytiharkan aset masing-masing.

Ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan usul itu, mengatakan Dewan Rakyat tiada kuasa menghukum wakil-wakil rakyat yang berbuat demikian, dan sepatutnya akta sedia ada dipinda bagi mewajibkan pengisytiharaan.