Penyanyi rap Nicki Minaj buat persembahan di Arab Saudi bulan ini

Nicki Minaj dikenali dengan persembahan yang berlebih-lebihan dan imej hiperseksi serta ranggi. Video muzik beliau sering menampilkan pakaian ketat dan terdedah serta tarian yang provokatif. (Gambar AFP)

PETALING JAYA: Penyanyi rap Nicki Minaj dijadual mengadakan persembahan di Arab Saudi akhir bulan ini menurut penganjur festival kebudayaan, Jeddah Season, dalam usaha kerajaan negara konservatif itu mengendurkan larangan ke atas kegiatan hiburan, lapor Aljazeera.

Pada satu seidang media Rabu, penganjur berkata, Minaj, atau nama sebenarnya ialah Onika Tanya Maraj, akan menjadi bintang utama festival berkenaan.

Minaj dikenali dengan persembahannya yang berlebih-lebihan dan imej hiperseksi serta ranggi. Video muzik beliau sering menampilkan pakaian ketat dan terdedah serta tarian yang provokatif.

Lirik lagunya dipenuhi kata-kata lucah dan biasanya adalah mengenai seks, hubungan dengan penyani rap lain dan penghakupayaan wanita.

Menurut laporan Aljazeera, selaras dengan undang-undang Saudi, konsert itu adalah bebas alkohol dan dadah, terbuka kepada individu berumur 16 tahun ke atas dan akan diadakan di Stadium Sukan Raja Abdullah di bandar tepian Laut Merah itu.

Arab Saudi menawarkan visa elektronik spontan kepada pelancong antarabangsa yang ingin menghadiri konsert berkenaan.

Media tempatan melaporkan konsert berkenaan yang akan disiarkan secara langsung melalui MTV akan turut menampilkan pemuzik British Liam Payne dan DJ Amerika Syarikat, Steve Aoki.

Walaupun pengumuman mengenai kehadiran Payne dan Aoki dinaikkan ke akaun Twitter Jeddah Season disertai dengan gambar artis terbabit, namun kehadiran Minaj hanya disertakan dengan imej animasi nama beliau, menurut laporan itu lagi.

Pengumuman mengenai konsert tersebut mengundang pelbagai komen di media sosial, daripada alu-aluan kepada kritikan dan kekecewaan.

Dalam satu klip video bernada keras yang dilihat lebih 37,000 kali di Twitter, seorang wanita Saudi yang memakai tudung, menuduh kerajaan Saudi bersikap hipokrit dengan mengundang Minaj, tetapi pada masa sama menghendaki pengunjung konsert wanita memakai pakaian labuh yang dikenali sebagai abaya.

“Dia akan datang dan menggoyangkan pinggulnya dan semua lagunya adalah mengenai seks serta lucah, tetapi kamu beritahu kami supaya memakai abaya,” kata wanita Saudi itu. “Apa ini?”

Ini bukan kali pertama Minaj mengadakan persembahan di Timur Tengah. Beliau pernah mengadakan persembahan di Emiriyah Arab Bersatu pada 2013.

Menurut Aljazeera, konsert Minaj diadakan berikutan usaha kerajaan Saudi melonggarkan sekatan ke atas aktiviti hiburan di bawah kepimpinan Putera Mahkota Mohammed bin Salman.

Pada April 2018, Riyadh membuka pawagamnya yang pertama selepas pengharaman selama 35 tahun ke atas kemudahan itu ditarik balik.

Sepanjang beberapa bulan lepas, Arab Saudi menyaksikan persembahan oleh penyanyi seperti Mariah Carey, Enrique Iglesias, Black Eyed Peas, Sean Paul dan juga DJ seperti David Guetta dan Tiesto.

Laporan pada Jun mendedahkan Pihak Berkuasa Hiburan Arab Saudi menyiasat pembukaan sebuah kelab malam tanpa kebenaran di Jeddah, yang menampakkan wujudnya kekeliruan tentang pelaksanaan pembaharuan di bawah Mohammed Salman, menurut Aljazeera lagi.

Acara melibatkan Minaj ini diadakan seiring dengan penelitian antarabangsa ke atas tindak-tanduk kerajaan negara itu berikutan pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi oleh ejen Saudi di bangunan konsulatnya di Turki Oktober tahun lepas.