Punca kematian 12 Orang Asli Kuala Koh tidak dapat disahkan, kata Dzulkefly

Sejak wabak melibatkan komuniti Orang Asli dilaporkan pada 3 Jun, kumulatif kes bergejala yang dilaporkan adalah sebanyak 173 kes, iaitu 147 kes di Kelantan, termasuk 3 kematian, Terenggnu (18), dan Pahang (8). (Gambar Bernama)

PORT DICKSON: Hasil bedah siasat yang dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian terhadap 12 mayat Orang Asli yang ditemui di Kampung Kuala Koh, Kelantan, tidak dapat disahkan.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata, kesemua mayat ini yang ditemui polis menjalani proses bedah siasat yang dilaksanakan pasukan forensik pada 17 dan 18 Jun lalu.

“Bagaimanapun keputusan terhadap ujian toksikologi, logam berat dan entomologi masih belum diperolehi.

“Sehingga semalam, tiada kes kematian baru dilaporkan dan kes kematian kekal 3 kes, yang mana ketiga-tiga kes ini disahkan campak melalui ujian makmal.

“Hasil bedah siasat oleh pasukan forensik juga mengesahkan kematian bagi 3 kes ini berpunca dari jangkitan dan komplikasi measles (campak),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Kampungku Sihat Peringkat Parlimen Port Dickson di sini, hari ini.

Tambahnya, di Kelantan sehingga 5 Julai lalu, seramai 48 kes masih dirawat, di mana 46 di wad isolasi, manakala 2 di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Katanya, kesemua yang dirawat berada dalam keadaan stabil, manakala 53 kes yang bergejala ringan ditempatkan di PLKN Etnobotani, Gua Musang.

Sementara itu di Terengganu, 5 kes masih dirawat di wad isolasi Hospital Hulu Terengganu, manakala di Pahang tiada kes baru.

“Kita ingin menjelaskan bahawa wabak yang berlaku ini adalah terkawal,” katanya.

Sejak wabak ini dilaporkan pada 3 Jun sehingga 5 Julai lalu, kumulatif kes bergejala yang dilaporkan sebanyak 173 kes, sebanyak 147 kes berlaku di Kelantan termasuk 3 kematian, Terenggnu (18 kes), dan Pahang (8 kes).

Daripada jumlah tersebut, 82 kes disahkan campak melalui ujian makmal.