KPN jamin siasatan terhadap dakwaan SB ancam aktivis pro-Hong Kong

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, memberi jaminan siasatan akan dibuat terhadap dakwaan seorang pegawai Cawangan Khas cuba mengancam aktivis yang menganjurkan acara menyokong gerakan di Hong Kong membantah undang-undang ekstradisi ke tanah besar China.

Hamid tidak akan bertolak ansur dengan perkara itu kerana pasukannya menghormati kebebasan bersuara dan berhimpun.

“Saya tidak akan membenarkan perkara ini berlaku. Tiada seorang pun, terutamanya pegawai dari Cawangan Khas, dibenarkan untuk menakut-nakut sesiapa,” katanya pada sidang media di majlis Aidilfitri bersama warga polis di Pusat Latihan Polis (Pulapol).

“Sekiranya berlaku, saya akan menghubungi pegawai itu,” tambahnya.

Hamid menambah dia tidak boleh mengulas lanjut kerana belum mendapat butiran lengkap mengenai kejadian itu.

Semalam, Ketua Pemuda Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) Siah Kwong Liang dan Presiden Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMany) Wong Yan Ke mendakwa mereka diancam seorang “Tuan Tan” ketika dipanggil untuk disoal selepas acara solidariti dengan gerakan aktivis di Hong Kong.

Siah berkata dia disoal pada 28 Jun dan mendakwa pegawai penyiasat pada mulanya mesra, tetapi “Tuan Tan” memasuki bilik soal siasat itu dan menggunakan gaya bahasa yang menakutkan.

“Katanya: Cawangan Khas ada banyak kuasa. Saya boleh hantar satu surat ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia untuk membatalkan persatuan kamu. Saya boleh telefon majikan kamu dan bertanya jika mereka masih mahukan kamu untuk terus bekerja. Kami malahan boleh mempengaruhi pengajian kamu. Kamu tidak akan tamat pengajian dan tidak boleh mendapatkan kerja,” dakwa Siah.