Mangsa banjir kilat di Melaka meningkat kepada 1,149 orang

(Gambar Bernama)

MELAKA: Jumlah mangsa banjir kilat di negeri ini terus mencatat peningkatan iaitu kepada 1,149 orang melibatkan 260 keluarga setakat 8.00 malam ini berbanding 745 orang dari 150 keluarga pada sebelah petang.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Effendy Ali berkata sebanyak 4 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mengalami peningkatan, 5 PPS kekal dan 2 PPS ditutup.

“Empat buah PPS yang mencatat pertambahan mangsa banjir ialah PPS Sekolah Krubong kini menempatkan seramai 112 orang mangsa dari 25 keluarga, PPS Masjid Al-Rasyiddin (406 orang dari 106 keluarga), PPS Sekolah Menengah Pengkalan (122 orang dari 34 keluarga) dan PPS Sekelah Belimbing Dalam (200 orang dari 49 keluarga),” katanya kepada pemberita malam tadi.

Beliau berkata jumlah mangsa di 5 PPS tidak berubah iaitu seramai 34 orang melibatkan 7 keluarga masih berteduh di PPS Balai Raya Bukit Balai, PPS Balai Raya Gadek (66 orang dari 17 keluarga), PPS Bukit Tambun (13 orang dari 4 keluarga), PPS Kampung Beringin (90 orang dari 15 keluarga) dan PPS Sungai Tuang (9 orang dari 2 keluarga).

Katanya, 2 PPS yang ditutup ialah PPS Sekolah Kebangsaan Pagoh ditutup pada 2.20 petang, manakala PPS Taman Seri Bayu ditutup pada 12.00 tengah hari, dan seramai sepuluh mangsa melibatkan 2 kelurga dari PPS tersebut dipindahkan ke PPS Masjid Al-Rasyiddin.