Penganalisis tak yakin pindaan Akta Perhimpunan Aman akan dorong umum bersuara

PETALING JAYA: Seorang penganalisis tidak yakin pindaan pada Akta Perhimpunan Aman akan mendorong orang terbanyak bersuara, kerana umum lebih cenderung memerhati tunjuk perasaan daripada menyertainya.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata umum kebanyakannya kurang tahu tentang hak menunjuk perasaan, atau was-was menunjuk perasaan kerana andaian ia tidak akan mengubah keputusan kerajaan.

“Menunjuk perasaan perlukan komitmen, masa dan tenaga,” katanya kepada FMT. “Jadi, ramai pihak selesa dengan apa yang mereka ada dan tidak melihat sebarang kepentingan tunjuk perasaan kepada masyarakat dan negara.”

Pada Isnin, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Mohd Azis Jamman membentangkan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman (Pindaan) bagi meniadakan kesalahan berkaitan tunjuk perasaan, untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Menurut RUU itu, undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah sudah memadai untuk memangani sebarang kacau ganggu, perbuatan ganas atau perlakuan jenayah.

Menyambut usaha itu sebagai tepat pada masanya, Awang Azman percaya perubahan itu akan dimanfaatkan oleh badan-badan bukan kerajaan dan golongan aktivis yang aktif bersuara dan membuat tuntutan.

“Paling beruntung ialah parti pembangkang yang dapat membuat lebih banyak lagi himpunan aman, bersolidariti dalam isu-isu semasa,” katanya.

Sementara itu, Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia berkata pindaan itu pasti disambut baik oleh rakyat kerana ia memberi ruang lebih luas untuk berhimpun.

“Begitupun pastilah sesetengah aktivis masyarakat dari NGO dan kumpulan hak asasi manusia mahukan kebebasan lebih meluas, bukan sekadar pindaan ke atas akta ini sahaja,” katanya kepada FMT.

Beliau berpandangan pindaan itu baik kerana perubahan perlu dibuat secara bertahap.

“Terlalu banyak kebebasan secara mengejut akan mendatangkan kesan negatif kepada rakyat, malah mungkin boleh menjejaskan keharmonian negara kerana kesukaran mengawalnya,” katanya.